Ujian; Hidup Bertuhan

Ramai yang telah berjumpa dengan saya untuk meluahkan rasa. Macam-macam bentuk cerita. Naik simpati saya dibuatnya. Saya cukup seronok apabila sahabat-sahabat yang datang kepada saya untuk mencurahkan perasaan mereka. Ia banyak memberikan saya pengajaran daripada kisah yang mereka sampaikan. Adakalanya saya juga bermuhasabah diri setelah mendengar sendiri ujian yang sedang mereka harungi.
“Entahlah, mungkin Tuhan telah beri hukuman akibat dosa-dosa yang telah saya buat. Sudah berapa lama saya dalam keadaan begini. Murung setiap masa. Kadang-kadang terasa lemah juga! Rasa tersiksa! Macam-macam dugaan yang datang, macam-macam juga ujian yang saya diberikan. Lepas satu, datang pula masalah kedua. Teruk sangatkah dosa yang telah saya buat? Ramai lagi orang lain di luar sana yang buat dosa yang sama, tapi bahagia pula! Rasa tidak adil!”
Saya pun tidak pasti, sebesar manakah dosanya sehinggakan dia rasa ujian di dunia ini tidak adil baginya tidak pula saya bertanya. Saya yang mendengar masalah sahabat ini terkedu juga. Rasa kasihan pun ada. Simpati dan mengerti. Apa yang saya yakin ialah dia sebenarnya mampu untuk teruskan perjalanan hidup walaupun diduga dengan pelbagai ujian. Ya, saya yakin.
Melihat saya tediam, dia sambung lagi. “Mungkin saya perlu untuk banyakkan beristighfar. Lebihkan amalan-amalan yang baik. Sentiasa ingat Tuhan. Ya, itu lebih baik.” Wajahnya ditundukkan seketika.
Lega saya mendengarnya. Rasa bangga pun ada. Saya ukirkan sekuntum senyuman buatnya. Dia pun berlalu pergi. Pada mulanya mungkin apa yang dia perkatakan sebentar itu tadi hanya untuk melepaskan rasa. Mungkin juga hanya sedakar mengeluh seketika. Kita manusia, kadang-kadang lemah, kadang-kadang juga kuat untuk meneruskan hidup yang penuh dengan gelora. Tapi sejauh manakah kita mampu untuk memanfaatkan kekuatan yang kita ada?
Saya bertindak sebagai pendengar setia. Walaupun tidak memberikan sebarang kata, mungkin dengan meluangkan sedikit masa dapat membangkitkan semangatnya. Saya yakin, dengan meluangkan masa bersamanya dapatlah dia merasakan bahawa dia tidak keseorangan. Ada juga yang sudi mendengar keluhannya. Ada juga yang sudi berkongsi rasa bersamanya.
Kita sebenarnya mempunyai keupayaan untuk mengatasi cabaran hidup, namun adakalanya, kita kehilangan kawalan untuk mencari penyelesaian dan mengatasi masalah. Setiap daripada kita yang berada di muka bumi ini mempunyai kekuatan diri masing-masing. Jika kita dapat memahami dan menggunakan kekuatan ini dengan sebaik-baiknya, kita akan dapat menyelesaikan masalah dalam kehidupan. Percayalah.
            Kita tidak sentiasa berhadapan dengan masalah. Pada suatu ketika, pasti terdapat waktunya kita tidak diganggu oleh sebarang masalah. Masalah merupakan ujian. Kehidupan kita sememangnya begini, sudah diaturkan macam-macam dugaan, sarat dengan ujian. Ujian inilah yang membuatkan kita sedar bahawa kita sedang hidup bertuhan.   
            Berhenti untuk merungut. Lihatlah sehebat mana pun kita, pasti akan tergelincir juga dalam kancah ‘peperangan’ hati. Kita tidak dapat melepaskan diri daripada-Nya. Sebesar mana pun dosa-dosa yang lepas, apa yang paling bernilai ialah kesedaran daripada kita. Lihatlah betapa indahnya hidup bertuhan. Kita hanya perlu untuk memujuk hati. Pujuk diri. Jangan terlalu mudah untuk hanyut dalam arus putus asa.
            Jangan lupa, orang lain juga pernah merasakan hal yang sama. Pasti ada jalan keluarnya. Cuba belajar daripada mereka. Ambillah sebanyak pengajaran yang baik-baik. Jangan peduli sebanyak mana jatuh bangun kita. Meskipun tidak terhitung, inilah yang membuatkan kita bahagia nanti.
Setiap kali hati kita terasa sangat hati bergelora; marah, sedih, kecewa segeralah pujuk diri. Meskinpun kita rasa seperti dunia ini tidak adil dengan apa yang sepatutnya, tidak setimpal dengan usaha kita. Segeralah memotivasikan diri sendiri. Oh! … Ini ujian yang perlu aku lalui. Aku mesti lulus ujian ini. Tuhan yang sedang uji aku. Kalau aku gagal, mana mungkin aku boleh berjaya! Mana mungkin aku boleh menikmati hari-hari bahagia!
Aduhai, peritnya rasa apabila hal yang kita inginkan tidak berlaku seperti mana yang kita mahukan. Sakit rasanya apabila perkara yang kita rancang dengan teliti, gagal juga akhirnya. Sukarnya berhadapan dengan ujian. Sukarnya berhadapan dengan sesuatu perasaan yang berbeza dengan apa yang kita inginkan. Rasa seperti tidak adil. Rasa seperti ada sesuatu lagi yang tidak dapat diselesaikan. Perasaan sebeginilah yang membuatkan kita lemah.
Sahabat-sahabatku sekalian, barangkali pada ketika ini kita diuji dengan rasa kecewa kerana perkara yang telah kita usahakan sekian lama tidak terlaksana sepenuhnya. Bahkan, sedikit pun tidak. Tabahlah, inilah yang dinamakan ujian. Dia mahu menguji kesungguhan kita dalam membuat kebaikan. Dia juga mahu tengok sejauh mana kita yakin dengan janji-Nya. Jika kita yakin, teruskan.
Namun, biar apa yang terjadi sekali pun, yakinlah pada diri. Kalau ketika ini orang lain yang membuatkan masalah kita bertambah rumit. Usah kita persalahkan dia. Dia juga sedang diuji. Dia juga perlu lalui ujian yang Tuhan kasi. Setiap daripada kita mahu lulus, mari kita sama-sama meujuk hati kita sendiri. Bersangkalah yang baik-baik. Akan datang juga perasaan yang baik-baik di kemudian hari. 

Comments

Popular posts from this blog

Kaunseling Silang Budaya Secara Umum dan Bagaimana Ia Relevan Dalam Konteks Sekolah Rendah

PENGURUSAN PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING

Teknik Ucapan Yang Berkesan