Kau Lemah?

“Nanti kau tolong maklumkan dengan Boss yang aku tak masuk kerja hari ni.” Bersahaja suara Irha memberi pesanan kepada rakannya melalui telefon. Saya yang mendengar perbualan mereka, sedikit kehairanan. Pantas saya bertanya, “Awak tak beritahu pun sebab apa awak tak masuk kerja hari ni. Tak mengapa ke?”
            “Ah! Bukannya penting pun semua aku nak beritahu. Pandai-pandailah Boss aku tu bagi cuti. Bukannya apa pun.” Jawapannya penuh dengan keyakinan,
            Keesokannya, Irha mengadu kepada saya. “Aku tak suka dengan gaya Boss aku tadi tu. Adakah patut dia banyak soal pula kenapa aku tak masuk kerja kelmarin.” Irha menjuih bibir, tanda geram kepada Bossnya. Tidak lama kemudian, Irha menghenyukkan punggungnya di atas sofa yang empuk.
            Saya ketawa. “Kan aku dah tanya, tak mengapa ke awak tak beritahu Boss ‘kesayangan’ awak tu mengapa awak tak masuk kerja kelmarin?” Sengaja saya tekankan perkataan kesayangan untuk mengusik Irha. Dia yang sedang mengeluh bertambah geram nampaknya.
            “Sudahlah! Malas nak layan kau. Malas nak layan Boss kesayangan aku tu. Malas nak fikir masalah kerja. Malas nak bekerja dengan dia lagi. Stress aku dibuatnya. Perangai Boss tu pun satu hal. Kerja bertimbun-timbun. Gaji pun tak juga naik-naik. Apatah lagi pangkat, dibuai mimpi aku dibuatnya. Hal macam ni bukan sekali dua terjadi. Tak terkira. Aku ingat aku nak pindah, tak tahan aku setiap masa macam ni.”
Berkerut dahi Mendengar jawapan daripada Irha. Kelihatan dia seolah-olah hampir berputus asa. Bingkas dia bangun dari duduk, berlalu begitu sahaja. Begitulah. Drama sebabak yang cukup memberikan kita banyak pengajaran. Apatah lagi, ia melibatkan masa depan.
Pernah pada suatu ketika, seorang remaja yang sudah bertahun-tahun menamatkan pengajiannya juga mengeluh kerana sehingga sekarang masih belum mempunyai kerja yang tetap. Ada pun, kerja sebagai sambilan sahaja. Gaji yang diperoleh juga cukup-cukup makan jika dikira. Saya pasti, bukan dia seorang yang sedang alami saat genting sebegini. Saya pasti, masih ramai lagi pemuda diluar sana yang mengalami situasi yang sama.
Ambillah iktibar daripada kisah ini. Setelah kita berusaha, kita dapat capai apa yang kita hendakkan. Setelah apa juga yang kita miliki, jangan pula disia-siakan. Rezeki tidak datang bergolek. Bagaimana sekali pun cabaran yang harus kita tempuhi dan lalui, cubalah untuk kuatkan jiwa agar tidak mudah untuk berputus asa. Kelak, apa yang ditinggalkan itu sebenarnya mampu memberikan yang terbaik buat diri kita dipengakhirannya. 
Jangan terlalu lena berada di zon selesa. Ramai lagi remaja di luar sana yang hebat-hebat belaka. Tidakkah kita berasa risau? Melainkan bakat dalam diri cukup menyerlah. Dicampak ke udara pun bisa menggantikan awan yang putih. Dibuang ke atas tanah mampu tumbuh dan membesar seperti cendawan. Jika tidak begitu, cubalah perbaiki diri. 
Adalah lebih baik jika kita sentiasa cuba untuk menerima dugaan. Walau ia membuat kita terlalu marah terhadap perlakuan atau perangai seseorang, mungkin kita perlu bermuhasabah diri juga. Periksa diri masing-masing, di mana silapnya kita. Kerana setiap kesilapan yang disedari mahupun tidak sedar, pasti ada cara untuk perbaikinya.


Comments

Popular posts from this blog

Kaunseling Silang Budaya Secara Umum dan Bagaimana Ia Relevan Dalam Konteks Sekolah Rendah

PENGURUSAN PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING

Teknik Ucapan Yang Berkesan