Analisis Kod Etika Bimbingan dan Kaunseling (KPM)
Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling
ialah satu perkhidmatan yang memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk
berkembang ke arah kehidupan yang lebih bahagia dan bermakna. Ia merangkumi
usaha kerja dengan individu atau kumpulan. Objektif perhubungan bimbingan dan
kaunseling berbeza mengikut individu. Oleh itu, terdapat beberapa kod etika
bimbingan dan kaunseling yang telah digariskan oleh Kementerian Pelajaran
Malaysia (KPM) yang memberi panduan kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling
Sepenuh Masa (GBKSM) dalam melaksanakan tanggungjawab profesionalnya. Antara
kod etika bimbingan dan kaunseling adalah seperti berikut :
a
Tanggungjawab
guru bimbingan dan kaunseling sepenuh masa terhadap klien
b
Tanggungjawab
guru bimbingan dan kaunseling sepenuh masa terhadap rakan profesional
c
Tanggungjawab
guru bimbingan dan kaunseling sepenuh masa terhadap masyarakat
d
Tanggungjawab
terhadap organisasi dan majikan
e
Tanggungjawab
pentadbir terhadap guru bimbingan dan kaunseling dan perkhidmatan bimbingan dan
kaunseling
Oleh hal yang demikian, GBKSM
di sekolah hendaklah melaksanakan tanggungjawabnya dengan memberi perkhidmatan
bimbingan dan kaunseling berpandukan kod etika yang telah dinyatakan di atas.
1.1 Analisis Kod Etika Bimbingan
dan Kaunseling; Tanggungjawab Guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa
Terhadap Klien
Kod etika bimbingan dan kaunseling
yang telah digariskan oleh KPM yang pertama ialah tanggungjawab GBKSM terhadap
klien. Ini bermakna GBKSM di sekolah haruslah mengutamakan kepentingan klien,
sama ada klien individu atau kelompok dan bukannya memperalatkan klien untuk
kepentingan diri sendiri sama ada dari aspek kewangan, seksual, emosi dan
sebagainya. Pengutamaan kepentingan klien tersebut adalah tanggungjawab GBKSM
untuk memberi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling kepada mereka seperti sesi
kaunseling individu atau kelompok, bimbingan individu atau kelompok atau
konsultasi. Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling berkenaan boleh diberikan meliputi
bidang perkhidmatan bimbingan dan kaunseling, akademik, kerjaya, psikososial,
keluarga, peribadi, kes disiplin, dadah atau HIV/AIDS. Oleh itu, berdasarkan
kefahaman kod etika ini dengan mengaitkan tanggungjawab profesional GBKSM, GBKSM
hendaklah memberikan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling dalam bidang
akademik seperti menganjurkan bengkel atau ceramah untuk memberikan ilmu
kemahiran belajar atau pengumpulan maklumat atau peluang untuk melanjutkan
pelajaran di peringkat seterusnya kepada klien. Hal ini adalah selari dengan penekanan
kod etika yang pertama ini iaitu mengutamakan keperluan klien.
Selain
itu, GBKSM juga boleh memberikan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling kepada
klien dalam bidang pembangunan diri iaitu menganjurkan program Latihan Dalam
Kumpulan (LDK) untuk memberi input kemahiran kepimpinan atau kemahiran tegas
diri. Dalam pada itu, jika GBKSM atau guru-guru lain dapat mengesan sebilangan
daripada murid-murid di sekolah tidak mempunyai pengurusan diri yang baik, maka
GBKSM boleh menganjurkan program-program atau aktiviti dalam bidang psikologi
dan kesejahteraan mental untuk memberi input kepada klien-klien tersebut
mengenai kemahiran pengurusan tekanan, kemahiran pengawalan diri, kemahiran
penghargaan kendiri atau kemahiran kerohanian dalam program bimbingan kelompok,
LDK. Mohd Zain Kosnon et al (2014), salah satu elemen yang terkandung dalam
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) ialah memperkembangkan potensi secara
menyeluruh dan bersepadu. Oleh itu, perkhidmatan ini adalah selaras dengan
elemen-elemen yang terkandung dalam FPK. Maka dapatlah kita lihat bahawa
keperluan ini adalah merupakan keperluan klien yang perlu diutamakan yang
menjadi kepentingan dalam tanggungjawab seseorang GBKSM selaras dengan
kandungan kod etika yang pertama ini iaitu mengutamakan kepentingan klien.
Dalam
pada itu, kod etika yang telah digariskan ini menekankan agar GBKSM untuk
menghormati privasi klien dan merahsiakan segala maklumat yang diperoleh semasa
sesi kaunseling melainkan maklumat yang akan membahayakan klien atau orang-orang
yang berada di persekitarannya di samping menyediakan tempat yang kondusif untuk
menjalankan sesi kaunseling agar klien tidak diperhatikan oleh orang luar yang
boleh mengganggu proses sesi kaunseling dijalankan. Oleh itu, GBKSM hendaklah
merahsiakan segala maklumat, isi perbincangan atau apa-apa sahaja yang
dibincangkan semasa sesi kaunseling dijalankan bersama klien. Namun, GBKSM boleh
menggunakan budi bicara sebagai tanggungjawab profesionalnya untuk menjaga
kepentingan klien dan orang yang berada di persekitarannya jika maklumat, isi
perbincangan atau apa-apa sahaja yang telah dibincangkan semasa sesi kaunseling
dijalankan dalam tanggungjawab profesional GBKSM iaitu dalam bidang
perkhidmatan bimbingan dan kaunseling jelas terbukti bahawa klien atau orang
yang berada di persekitarannya berada dalam keadaan yang berbahaya. Sebagai
contoh, semasa sesi kaunseling di jalankan klien menceritakan pengakuannya
telah membunuh seseorang dan perkara itu telah menghantuinya. Maka, GBKSM boleh
menggunakan budi bicaranya untuk melanjutkan kes tersebut kepada pihak yang
bertanggungjawab atas persetujuan klien demi kepentingannya sendiri.
Selain
itu, kod etika ini juga telah menekankan agar GBKSM hendaklah berkhidmat dengan
penuh dedikasi, ikhlas, jujur dan membuktikan kemahiran serta kecekapan
profesionalismenya. Oleh hal yang demikian, tanggungjawab profesional yang
harus dilaksanakan oleh GBKSM dalam bidang pengurusan dan pentadbiran ialah
mengurus sistem fail-fail yang merangkumi laporan-laporan program, kertas kerja
program, laporan dan rekod sesi, laporan kewangan dan rancangan tahunan. Bidang
ini hendaklah dilaksanakan oleh GBKSM dengan penuh dedikasi, ikhlas serta
jujur untuk membuktikan kecekapan
profesionalismenya. Hal ini adalah kerana sistem fail adalah sangat berguna
kepada seseorang GBKSM untuk kegunaan pada masa yang akan datang seperti ingin
memohon lesen kaunselor di samping dapat mempermudah urusan pihak Jemaah NAZIR
datang untuk membuat penilaian ke atas perkhidmatan GBKSM tersebut. Selain itu,
sistem fail yang merekodkan sesi kaunseling yang telah dilaksanakan oleh GBKSM
boleh dijadikan bukti sekiranya berlaku kes-kes yang perlu melibatkan urusan mahkamah.
Dalam pada itu juga, GBKSM seharusnya
sentiasa mengemas kini paparan dan sebaran maklumat di papan kenyataan serta
perkongsian maklumat kepada klien yang seperti mana dalam buku yang diterbitkan
oleh Kementerian Pelajaran Malaysia yang merangkumi perkongsian seperti kemahiran
pengurusan diri, kemahiran kepimpinan, kemahiran mengurus masa atau kemahiran
kesejahteraan diri. GBKSM boleh mengambil peluang semasa perhimpunan rasmi atau
perhimpunan harian di sekolah untuk berkongsi maklumat-maklumat tersebut kepada
klien. Pelaksanaan tersebut adalah termaktub dalam bidang pembangunan diri. Tanggungjawab
seperti ini hendaklah dilaksanakan seperti mana kehendak kod etika yang pertama
ini dalam mengutamakan kepentingan klien dengan melaksanakan perkhidmatan
dengan penuh dedikasi, jujur dan ikhlas.
1.2. Analisis Kod Etika Bimbingan
dan Kaunseling; Tanggungjawab guru bimbingan dan kaunseling sepenuh masa
terhadap rakan profesional
Tanggungjawab GBKSM bukan sahaja
tertumpu kepada klien sepenuhnya, tetapi tanggungjawab GBKSM juga merangkumi
kepada rakan seprofesionalnya. Oleh itu, KPM telah menggariskan kod etika yang
kedua untuk dijadikan panduan kepada GBKSM di sekolah dalam melaksanakan
tanggungjawab profesionalnya iaitu tanggungjawab GBKSM terhadap rakan
profesional. Kod etika yang telah digariskan ini lebih menekankan kepada tanggungjawab
GBKSM terhadap usaha kerjasama dalam meningkatkan tahap kecekapan
profesionalismenya di samping menunjukkan sikap menghormati, adil dan terbuka
terhadap rakan profesionalnya. Dalam pada itu, berdasarkan kod etika ini GBKSM
juga bertanggungjawab untuk mencegah,
mendedahkan serta memperbetulkan perlakuan GBKSM lain yang tidak beretika.
Dalam masa yang sama, GBKSM juga dituntut untuk bersedia mempertahankan,
membantu serta membela rakan GBKSM yang teraniaya akibat daripada tuduhan dan
tohmahan perlakuan yang tidak beretika.
Jika
GBKSM mendapati sebarang perlakuan atau sikap rakan profesionalnya yang
bertentangan dengan kod etika yang telah digariskan oleh KPM, maka GBKSM
hendaklah dengan profesional menegur, menasihati atau memperbetulkan tingkah
laku tersebut. Sebagai contoh, rakan profesional GBKSM yang bertindak mengambil kesempatan terhadap
klien dari segi kewangan dengan menetapkan bayaran jika berjaya membantu
menyelesaikan persoalan klien dalam melaksanakan sesi kaunseling demi
kepentingan diri sendiri GBKSM hendaklah memperbetulkan tindakan rakannya
berkenaan. Perkara ini adalah sering berlaku semasa GBKSM melaksanakan tugasnya
dalam bidang perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Hal ini adalah demi menjaga
nama baik unit bimbingan dan kaunseling di sekolah daripada dikatakan
mementingkan diri sendiri di samping dapat meningkatkan amalan profesional
mereka.
Selain
itu, jika terdapat juga rakan profesional GBKSM yang melaksanakan
tanggungjawabnya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran yang bertindak
menyeleweng wang sekolah, GBKSM hendaklah bertindak dengan segera bagi mencegah
perilaku yang tidak baik tersebut. Dalam Shahril Marzuki (2005) menyatakan
bahawa pengurusan kewangan di sekolah adalah satu amanah yang perlu digalas
oleh guru-guru dan pihak pentadbiran sekolah. Namun, terdapat juga sesetengah
mereka yang tidak bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan sekolah. Contoh
yang dapat dilihat adalah kemungkinan cara yang dilakukan oleh rakan GBKSM ialah
menetapkan jumlah perbelanjaan yang berlebihan daripada sasaran dalam kertas
cadangan program dan seterusnya menggunakan lebihan wang berkenaan untuk
kegunaan peribadi. Perkara ini hendaklah dicegah oleh GBKSM kerana ia akan
memberi kesan yang negatif bukan sahaja kepada unit bimbingan dan kaunseling di
sekolah tersebut, tetapi juga memberi kesan yang mendalam kepada seluruh GBKSM
di Malaysia.
Dalam
pada itu, jika terdapat sebarang fitnah atau tuduhan yang bertentangan dengan
perilaku rakan profesional GBKSM dalam memberikan perkhidmatan bimbingan dan
kaunseling kepada klien, maka GBKSM dituntut untuk mempertahankan, membela dan
membantunya. Sebagai contoh, klien yang telah diberikan perkhidmatan sesi
kaunseling iaitu dalam bidang perkhidmatan bimbingan dan kaunseling bertindak
menuduh rakan profesional GBKSM yang mendedahkan isi cerita sesi atau rahsianya
kepada khalayak ramai. Namun, klien tersebut terlupa bahawa dia telah
menceritakan rahsianya kepada kawan karibnya lalu cerita tersebut tersebar dengan
pantas. Oleh hal yang demikian, berpandukan kod etika ini GBKSM hendaklah
membela dan mempertahankan rakan profesionalnya untuk membantu daripada tuduhan
yang tidak benar tersebut. Demikianlah, kod etika ini sangat menjaga tatasusila
perilaku serta menegaskan tentang keperluan untuk bela-membela dan saling
bantu-membantu dalam kalangan rakan profesional GBKSM di sekolah.
1.3. Analisis Kod Etika Bimbingan
dan Kaunseling; Tanggungjawab Terhadap Masyarakat
Bidang tanggungjawab GBKSM di sekolah
bukan sahaja melibatkan murid-murid atau klien, guru-guru dan kakitangan
sekolah. namun, ia juga melibatkan masyarakat. Oleh hal yang demikian, KPM
telah menggariskan kod etika ini iaitu tanggungjawab GBKSM terhadap masyarakat
demi menjaga kualiti perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di Malaysia. Kod
etika ini menuntut GBKSM agar memahami dan menghormati unsur sosio-budaya
masyarakat walau di mana sahaja GBKSM berkenaan berkhidmat. Sebagai contoh,
GBKSM yang berkhidmat di kawasan yang mempunyai pelbagai jenis kaum dan agama
seperti di negeri Sabah dan Sarawak hendaklah memahami dan menghormati unsur
sosio-budaya masyarakat berkenaan.
Oleh
itu, GBKSM yang berkhidmat di mana-mana sekolah hendaklah memberikan
perkhidmatannya dengan berpandukan kod etika ini. Ini adalah penting untuk
menjaga kualiti dan menaruh kepercayaan masyarakat di sekeliling untuk memberi
perkhidmatan bimbingan dan kaunseling kepada anak-anak mereka. Sokongan dan
dorongan yang diberikan oleh masyarakat adalah sangat penting untuk menjayakan
mana-mana program bimbingan dan kaunseling yang dirancang. Contohnya, seseorang
GBKSM yang ingin melaksanakan tanggungjawabnya dalam bidang keibubapaan seperti
menganjurkan sambutan hari keluarga yang sememangnya melibatkan ibu bapa
murid-murid hendaklah menitik beratkan dan mengambil perhatian terhadap
kepercayaan, adat resam, dan budaya yang diamalkan oleh setiap ahli keluarga
mereka. Justeru, GBKSM hendaklah memahami dan menghormati apa jua kepercayaan
yang diamalkan oleh masyarakat di sekelilingnya.
Tambahan
lagi, GBKSM yang ingin melaksanakan tanggungjawab profesionalnya dalam bidang
keibubapaan iaitu lawatan ke rumah murid hendaklah berhati-hati dalam
menggunakan bahasa atau dialek semasa berkomunikasi dengan ibu bapa
murid-murid. Ini adalah kerana dibimbangkan terdapat beberapa perkataan yang
digunakan oleh GBKSM bertentangan maksud yang difahami oleh ibu bapa
murid-murid. Komunikasi adalah bukan sahaja merujuk kepada percakapan, tetapi
merangkumi kepada pakaian, perbuatan diam, fesyen rambut dan barang-barang yang
disimpan dan dipamer (Abdullah Hassan & Ainon Mohd, 2000). Oleh itu, GBKSM
haruslah membiasakan diri dengan cara penerimaan tetamu oleh ibu bapa
murid-murid walaupun dengan cara apa sekalipun. Hal ini adalah demi menjaga
hati para ibu bapa yang dikunjungi. Sama juga seperti program konfrens atau
khidmat konsultasi yang dilaksanakan oleh GBKSM juga hendaklah menghormati
bahasa atau dialek yang digunakan oleh ibu bapa murid-murid. Penghormatan ini
adalah untuk menjayakan program yang dianjurkan oleh GBKSM di sekolah kerana
ibu bapa atau masyarakat adalah merupakan tunjang utama kepada kejayaan program
yang dianjurkan oleh GBKSM itu sendiri.
Selain
itu, kod etika ini juga menegaskan kepada GBKSM agar dikehendaki mematuhi
undang-undang negara dan melaksanakan tugasnya berlandaskan undang-undang
tersebut. Kod etika ini adalah berkait rapat dengan tanggungjawab GBKSM
terhadap masyarakat. Oleh hal yang demikian, GBKSM adalah dituntut untuk
melaksanakan tanggungjawabnya dalam bidang pendidikan pencegahan
dadah/rokok/inhalan dan HIV/AIDS. Bidang ini bukan sahaja melibatkan
murid-murid di sekolah, namun juga disarankan agar melibatkan masyarakat
di sekeliling dalam menanam sikap benci
kepada dadah dalam kalangan mereka. GBKSM mungkin boleh menganjurkan program
ceramah, pameran atau bimbingan kelompok kepada murid-murid atau masyarakat
yang terdiri daripada kalangan ibu bapa murid-murid. Hal ini adalah selaras
dengan kehendak kod etika ini yang menegaskan kepada GBKSM agar melaksanakan
tugasnya berlandaskan undang-undang negara dengan melibatkan masyarakat untuk
mematuhi undang-undang berkenaan di samping menghormati sosio-budaya mereka.
1.4. Analisis Kod Etika Bimbingan
dan Kaunseling; Tanggungjawab Terhadap Organisasi dan Majikan
Tanggungjawab GBKSM juga adalah
berpandukan dengan kod etika yang keempat iaitu tanggungjawab terhadap
organisasi dan majikan. Kod etika ini menekankan kepada tanggungjawab GBKSM
dalam mematuhi persetujuan komitmen yang ditandatangani dengan organisasi di
sekolah dia berkhidmat di samping berusaha mengikuti polisi dan prosedur serta
meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan organisasinya. Ini
bermakna GBKSM perlu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatannya
dalam bidang pengurusan dan pentadbiran. Bidang tersebut adalah merangkumi
tanggungjawab seperti bertanggungjawab atas jawatan dalam organisasi di
sekolah. sebagai contoh, GBKSM adalah sebagai setiausaha program ‘guru
penyayang’ yang mana program berkenaan adalah program yang telah dituntut oleh
pihak KPM sendiri. Sebagai setiausaha program berkenaan, GBKSM hendaklah
menyediakan kertas konsep, laporan program serta penilaian program dan seterusnya
membuat sistem fail mengikut jenis-jenis fail untuk memasukkan bahan-bahan
program berkenaan di dalam fail. Oleh itu, GBKSM haruslah memastikan bahawa
sistem fail adalah sentiasa dikemas kini agar mudah untuk merujuk fail
berkenaan pada program yang akan datang.
Dalam
pada itu, berpandukan kod etika ini yang menekankan GBKSM agar sentiasa
bertindak untuk mencegah berlakunya diskriminasi dalam organisasi dan dalam
pelaksanaan polisi amalan pekerjaan serta sentiasa mengelak daripada
menyalahgunakan kemudahan dan sumber organisasinya. Oleh hal yang demikian,
dalam melaksanakan tanggungjawab profesional dalam apa-apa jua bidang
perkhidmatan bimbingan dan kaunseling GBKSM hendaklah sentiasa memegang kod
etika ini agar tidak menyalahgunakan sebarang kemudahan atau sumber dalam
organisasinya iaitu kemudahan untuk GBKSM melaksanakan tanggungjawabnya dalam
bidang pengurusan dan pentadbiran atau mana-mana bidang yang memerlukan
kemudahan seperti bilik persendirian, pencetak
dan komputer. Sebagai contoh, sesetengah GBKSM menggunakan bilik bimbingan dan
kaunseling untuk bersantai dan tidak melaksanakan tanggungjawabnya. Sekiranya
berlaku penyelewengan dalam kod etika ini, diskriminasi boleh dalam sesebuah
organisasi. Oleh sebab itulah KPM menggariskan kod etika ini agar GBKSM
sentiasa amanah dan tidak melakukan sebarang penyelewengan dalam pelaksanaan
amalan tanggungjawab profesionalnya.
Oleh
hal yang demikian, amat penting untuk GBKSM menjelaskan bidang kepakaran dan
tahap kecekapan profesionalnya di samping mewujudkan hubungan interpersonal dan
persetujuan kerja dengan penyelia dan staf sekolah mengenai khidmat kaunseling
khususnya mengenai unsur kerahsiaan, perbezaan antara fakta umum atau peribadi,
beban kerja dan akauntabiliti. Hal ini adalah kerana jika penyelia dan staf di
sekolah tidak memahami bidang kepakaran GBKSM kemungkinan akan berlakunya
ketidakfahaman di kalangan mereka bahawa GBKSM di sekolah tidak mempunyai kerja
dan hanya duduk bersantai. Contohnya, semasa GBKSM sedang melaksanakan tanggungjawabnya
dalam bidang pengurusan dan pentadbiran iaitu menyiapkan laporan atau kertas
cadangan di dalam bilik bimbingan dan kaunseling guru-guru atau staf yang lain
akan bertanggapan GBKSM hanya duduk bersantai. Oleh hal yang demikian, semasa
GBKSM sedang melaksanakan tanggungjawabnya dalam bidang perkhidmatan bimbingan
dan kaunseling iaitu menjalankan sesi kaunseling GBKSM hendaklah meletakkan
satu papan notis di hadapan pintu bilik bimbingan dan kaunseling yang bertulis
“sesi kaunseling sedang berjalan” agar dapat memberi kefahaman kepada guru-guru
atau staf lain bahawa GBKSM sedang melaksanakan tanggungjawab profesionalnya.
Hal ini adalah selaras dengan kandungan kod etika yang ketiga seperti mana yang
telah dibincangkan.
Akhir
sekali, kandungan kod etika ini menggalakkan GBKSM agar membenarkan dirinya
dinilai secara profesional oleh Jemaah Nazir Sekolah dari semasa ke semasa di
samping bertanggungjawab ke atas peningkatan kerjaya untuk dirinya dan stafnya.
Ini menunjukkan bahawa GBKSM dituntut untuk melaksanakan tanggungjawabnya dalam
semua bidang perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Untuk memenuhi kehendak kod
etika ini iaitu membenarkan Jemaah Nazir Sekolah menilai dirinya GBKSM
hendaklah melaksanakan tanggungjawabnya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran
iaitu sentiasa mengemaskinikan sistem fail yang merangkumi rekod sesi
kaunseling, laporan program, penilaian program, kertas kerja program, dan
lain-lain. ini adalah untuk memudahkan Jemaah Nazir menilai perkhidmatan GBKSM
dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Kepentingan sistem fail adalah bagi
memudahkan GBKSM untuk meningkatkan
kepakaran profesionalnya jika GBKSM berkenaan ingin memohon lesen kaunselor
atau menyambung pengajian. Perkara sebegini
adalah sangat digalakkan untuk menjadikan GBKSM pakar dalam
bidang-bidang perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang akan berikan kepada
klien serta organisasi dan majikannya.
1.5. Analisis Kod Etika Bimbingan
dan Kaunseling; Tanggungjawab Pentadbir Terhadap Guru Bimbingan dan Kaunseling
Sepenuh Masa dan Terhadap perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling
Kod etika yang digariskan oleh KPM
untuk dijadikan rujukan GBKSM di sekolah juga melibatkan tanggungjawab
pentadbir kepada GBKSM. Tanggungjawab pentadbir adalah memberi taklimat,
penerangan dan bimbingan berkaitan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di
sekolah berkaitan budaya sekolah, visi dan misi sekolah serta keperluan
perkhidmatan bimbingan dan kaunseling, khususnya kepada GBKSM yang baru
dilantik. Dalam pada itu, pentadbir hendaklah berbincang bersama GBKSM dari
semasa ke semasa berhubung senarai tugas, bidang tugas dan program yang hendak
dijalankan di samping memantau dan menilai kemampuan dan penampilan GBKSM. Dalam
pada itu, pentadbir sekolah juga perlu memastikan GBKSM melaksanakan
perkhidmatannya berdasarkan Buku Panduan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling
Sekolah.
Oleh
hal yang demikian, setelah berbincang bersama pentadbir sekolah GBKSM
seharusnya bertindak proaktif dalam melaksanakan bidang tanggungjawabnya.
Bidang yang pertama yang boleh dilaksanakan oleh GBKSM di sekolah ialah bidang
akademik yang telah digariskan dalam Buku Panduan Perkhidmatan Bimbingan dan
Kaunseling di Sekolah untuk memberi ilmu kemahiran belajar atau pengumpulan
maklumat pelajaran atau peluang melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian
Tinggi (IPT) kepada murid-murid di sekolah. ilmu tersebut boleh diberikan
kepada murid-murid dengan menganjurkan bengkel, seminar, pameran atau lawatan
sambil belajar. Hal ini adalah kerana keperluan murid atau klien di sekolah yang
utama adalah dalam bidang akademik. Dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut,
pentadbir sekolah adalah dikehendaki memantau dan menilai keberkesanan
program-program atau aktiviti yang dianjurkan oleh GBKSM. Ini adalah selaras
dengan kehendak kod etika yang telah digariskan oleh KPM.
Selain
itu, pentadbir sekolah hendaklah memastikan GBKSM tidak diberi jadual waktu
mengajar atau tugas lain yang boleh menjejaskan perkhidmatan bimbingan dan
kaunseling untung membantu dalam peningkatan tahap profesionalisme GBSKM di
sekolah. Sebagai contoh, GBKSM akan berasa kesempitan waktu serta menghalang
beliau untuk melaksanakan sesi kaunseling lebih-lebih lagi sesi kaunseling yang
melibatkan kes krisis yang timbul secara drastik jika GBKSM di sekolah diberi
jadual waktu mengajar. Dalam pada itu, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling
GBKSM juga akan berkurangan jika beliau diberi tugas atau komitmen lain seperti
penyelaras kokurikulum atau ketua jurulatih permainan yang terpaksa ke luar
sekolah untuk bertugas. Walaupun hakikatnya klien di sekolah memerlukan
perkhidmatan bimbingan dan kaunseling oleh GBKSM seperti perkhidmatan sesi
kaunseling, bidang akademik atau kerjaya pada masa tersebut.
Kod
etika ini juga menggariskan tanggungjawab pentadbir terhadap perkhidmatan bimbingan
dan kaunseling iaitu dikehendaki membantu usaha mewujudkan sebuah bilik
bimbingan dan kaunseling yang kondusif, strategik, terapeutik dan memenuhi kualiti KPM di samping sentiasa
memantau buku rekod perkhidmatan GBKSM. Ini adalah untuk memudahkan GBKSM
melaksanakan tanggungjawab profesionalnya dalam bidang perkhidmatan bimbingan
dan kaunseling iaitu melaksanakan sesi kaunseling, bidang pendidikan pencegahan
dadah/rokok/inhalan/ dan HIV/AIDS iaitu penyebaran maklumat berkaitan bahaya
dadah, rokok, inhalan dan sebagainya di dalam bilik bimbingan dan kaunseling
dan bidang pengurusan dan pentadbiran iaitu GBKSM membuat laporan program, rekod sesi kaunseling, menyimpan
borang-borang perkhidmatan dan lain-lain. oleh itu, kemudahan bilik bimbingan
dan kaunseling adalah sangat diperlukan oleh GBKSM di sekolah bagi melaksanakan
tanggungjawab profesionalnya.
Pentadbir
sekolah juga dituntut untuk memberi sokongan, kerjasama dan bantuan untuk
menjalankan aktiviti program dan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di
samping memastikan perkhidmatan tersebut dijalankan secara optimum dan
menyeluruh, serta dapat menyumbang ke arah kesejahteraan dan kecemerlangan sekolah. Contohnya, pentadbir
sekolah hendaklah memberi kerjasama dan sokongan yang padu terhadap perkhidmatan
GBKSM dalam melaksanakan perkhidmatannya seperti meluluskan kertas cadangan
program dan memberi sokongan terhadap program yang akan dianjurkan oleh GBKSM
seperti menjemput pihak luar iaitu IPT atau agensi berkaitan untuk memberi
ceramah atau pameran berkaitan maklumat kerjaya dalam bidang kerjaya. Sokongan
dan dorongan daripada pihak pentadbir adalah merupakan tunjang utama kepada
kejayaan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah yang dijalankan oleh
GBKSM.
Comments
Post a Comment