Kuatlah Wahai Sahabat!
Kata seorang sahabat, dia baru sahaja putuskan
hubungan dengan kekasihnya; dia terlalu kecewa dengan sikap bekas kekasih yang
dicintai selama 4 tahun itu. Tambahnya lagi, bukan sahaja kecewa, malah dia
juga sudah mula membencinya sama sekali. Perasaan benci itu lahir akibat
perbuatan yang dianggap terlalu ‘kejam’ yang telah dilakukan oleh wanita yang
diagungkan pada ketika dahulu. Tidak sangka, seorang wanita yang dianggap
sebagai baik, penyayang, sopan-santun dan agak pendiam itu kini bersikap di
luar tabiat.
Saya
yang sedang menikmati nasi lemak pada pagi itu tertarik dengan luahan sahabat
saya ini langsung sahaja bertanya apakah perbuatan yang dianggap ‘kejam’ yang dilakukan oleh bekas kekasihnya
itu? Agak perlahan nada sahabat tadi menjawab, “Dia curang.”
Melihat
reaksinya, saya menduga lagi. “Adakah awak pasti bekas kekasih awak tu
betul-betul curang? Kalau inilah kesilapan besar yang pertama dia lakukan,
kenapa tidak maafkan dan berikan peluang kedua? Bersahaja soalan yang
saya ajukan untuk mendapatkan cerita yang lebih lanjut terhadap luahannya
sebentar tadi.
Pantas
sahabat itu menjawab, “Maafkan dia? Bagi peluang kedua? Tidak mungkin. Tidak
mungkin. Berita ni saya dapat tahu setelah baru sahaja pulang dari bekerja
sambilan. Ditambah dengan penat-lelah, seolah-olah ada sesuatu yang menampar
wajahku. Sakit rasanya, hanya Tuhan saja yang tahu.” Jelas sahabat itu tadi.
Belum
pun sempat untuk saya memberi respon, sahabat itu menyambung lagi. “Awak tahu
tak, saya sanggup bekerja sambilan siang dan malam, tidak kira jenis kerja apa
sekali pun untuk menambah wang dalam tabung nikah saya dan wanita itu? Dalam
masa yang sama, setiap kali wang elaun yang saya peroleh daripada insitut
pengajian, saya simpan separuh daripada sejumlah wang berkenaan ke
dalam simpanan tabung nikah kami.”
Menurutnya
lagi, kedua-dua ibu bapa mereka telah pun kenal antara satu sama lain. Sahabat
itu juga mengatakan bahawa dia sering berkunjung ke rumah wanita itu untuk
berjumpa dengan ibu dan ayahnya. Bukan sekadar restu ibu dan ayah diperoleh,
malah kursus kahwin pun telah mereka hadir bersama. Pernah suatu ketika, rakan
karib kepada bekas kekasih sahabat itu tadi bakal mendirikan rumah tangga tidak
lama lagi. Tidak mahu ketinggalan, bekas kekasih sahabat itu tadi turut berkeinginan untuk memiliki cincin emas. Dengan sedikit wang yang ada, sahabat itu
tadi gigih juga untuk menunaikan hajat bekas kekasihnya itu. Sampai begitu sekali pengorbanan sahabat ini.
Selepas
mendengar ceritanya, saya berfikir sejenak. Apa pula kurangnya sahabat saya ini
sehinggakan bekas kekasihnya sanggup untuk menduakan dia? Mengapa begitu cepat
dia membenci bekas kekasihnya sedangkan saya kira mungkin terlalu banyak
kenangan mereka berdua selama 4 tahun dalam menjalinkan hubungan yang istimewa.
Jika dilihat wajahnya, kacak juga! Mungkin bekas kekasih sahabat itu tadi ada
jawapan tersendiri!
Lantas
saya menduganya lagi. “Awak tak pernah tanya bekas kekasih awak kenapa dia
memilih lelaki lain berbanding awak yang agak lama dicintainya?” Berhati-hati
soalan yang saya ajukan agar tidak mengguris hatinya.
“Berita
ini pun saya tahu melalui ibu dia. Ibu dia menelefon saya pada ketika itu.
Apabila saya tanya alasan anak perempuannya, ibunya sekadar memberikan jawapan
yang saya tidak ikhlas kepada anaknya. Kata ibu dia lagi, lelaki pilihan
anaknya itu hendak menghantar rombongan dalam masa yang terdekat ini. Tapi
mereka sekeluarga menolak. Bekas kekasih saya pula memberontak. Padan juga muka dia. Luluh hati saya
mendengarnya. Hal mana satu yang saya tidak ikhlas? Cincin pun dah bagi. Wang
dalam tabung nikah pun perlahan-lahan saya simpan, sedangkan saya masih lagi
belajar sama seperti dia.” Luahannya itu diakhiri dengan menarik nafas yang
panjang.
Kata-kata
terakhir daripada sahabat itu tadi membuatkan saya berfikir seketika. “Wang
dalam tabung nikah pun perlahan-lahan saya simpan, sedangkan saya masih belajar
sama seperti dia.” Terngiang-ngiang ayat ini dalam kepala saya. Lalu saya pun
mengalihkan fikiran kepada alasan bekas kekasihnnya itu yang menyatakan bahawa
sahabat saya tidak ikhlas kepadanya. Oleh sebab itulah dia memilih lelaki lain
yang baru sahaja dikenali dan menerima lamarannya.
Melihat
saya terdiam, sahabat itu tadi menyambung lagi. “Saya pasti awak tertanya-tanya
kenapa dia memilih lelaki yang baru dikenali itu, bukan? Ya, lelaki itu berasal
daripada keluarga yang berada, mampu untuk menikahi dia dalam masa yang singkat
berbanding saya yang masih terkial-kial melakukan apa sahaja kerja asalkan
dapat mengumpul wang nikah dengan cepat. Sehinggakan saya sanggup jual burger
di tepi jalan oleh kerana dia selalu sahaja mendesak. Apa yang didesaknya ialah
nikah awal.”
Sambungnya
lagi, “Bukan hati saya tidak ikhlas, saya sudah pun berusaha. Lagi pun, saya
merupakan anak sulung dalam adik-beradik. Adik-adik saya masih kecil lagi. Saya
juga berhasrat untuk membalas jasa ibu dan ayah serta membantu adik-adik yang
masih belajar apabila saya sudah bekerja nanti.” Begitulah jelasnya menjawab
persoalan dalam fikiran saya sebentar tadi.
Mendengar
luahannya yang terlalu kecewa. Saya memberi pesanan ringkas. “Apa pun masalah yang awak sedang hadapi, awak kena bersyukur. Bukan semua
orang dapat merasai masalah ini. Malah, pasti ada juga yang merasai masalah
yang sama dengan awak dan dapat diselesaikan secara baik.” Saya kira pesanan
ini dapat melegakan hatinya walaupun sedikit.
Kadang-kadang
kita tersalah tafsir takdir yang menimpa ke atas diri kita. Kita sangkakan
masalah yang singgah dalam perjalanan hidup kita itu membawa kepada nasib yang
malang pada hari ini dan hari yang mendatang. Tetapi, sebenarnya Tuhan itu Maha
Adil lagi Maha Pengasih, sesungguhnya Dia lebih tahu dan bijaksana dalam
menentukan corak hidup kita. Awal-awal lagi dia sudah menunjukkan sifat sebenar
orang yang kita cintai. Bagaimana jika Tuhan sembunyi atau lambat untuk
menunjukkan sifat buruk itu kepada kita? Bagaimana dengan status perkahwinan
yang telah dibina? Macam mana pula dengan nasib anak-anak yang masih kecil?
Bersyukurlah, setiap masalah pasti membawa hari yang indah kelak bersama.
Siapa
pun bakal pasangan hidupmu, lelaki atau perempuan kedua-duanya yang pasti
adalah seorang manusia yang dikurniakan seketul hati. Hati manusia, mudah untuk
berubah. Jika hari ini kasihnya melimpah-limpah, tidak mustahil pada
keesokannya pula tiada setitik langsung pun tompokan nilai cintanya kepada
anda. Macam-macam dugaan yang datang dan pergi. Bagi yang tidak cekal, sudah
pasti hanyut dalam kemewahan dan tipu daya dunia.
Saya
pasti, bukan mudah untuk melupakan kenangan bersama orang kita cintai setelah
sekian lama menjalinkan hubungan yang istimewa. Terlalu banyak perkara yang
boleh menyebabkan kita teringat akan kenangan-kenangan indah. Selain
mematangkan diri, masalah juga mengajar kita untuk lebih bersedia dengan
masalah-masalah lain yang akan datang.
Bersabarlah.
Mungkin hanya dengan perkataan ini mampu menenangkan hati yang duka.
Bersabarlah. Mungkin dengan berkata kepada diri sendiri untuk bersabar sedikit-sebanyak
dapat melegakan hati yang lara. Belajarlah menerima hakikat. Apa dan siapa
sahaja yang sedang menyakitimu saat ini, ia adalah dibawah aturan diri sendiri
melalui Tuhammu yang Maha Esa. Mungkin juga masalah yang dialami sekarang
merupakan batu loncatan atau jambatan untuk anda memperoleh sesuatu yang
bermakna pada keesokan hari. Justeru, cekalkan hati dan belajarlah mengawal
perasaan.
Walaupun
ia tidak semudah seperti mana diungkapkan. Namun, bertindak atau melakukan
sesuatu lebih baik berbanding berdiam diri meratapi kesedihan. Letakkan perkara
yang utama dihadapan. Ketahui peranan diri sebagai makhluk di muka bumi. Saya
pasti, selepas ini anda akan dihadiahkan dengan sesuatu yang mampu membuat
wajah anda mengukir senyuman.
Comments
Post a Comment