Ikhlaskan Perpisahan
“Kenapa dia pergi tanpa berkata apa?”, “Kenapa aku
ditakdirkan hidup merana?”, “Kenapa dia sanggup tinggalkan aku, padahal kami
sudah lama bercinta?”, "Kenapa tiba-tiba dia berubah hati, apa kurangnya aku?", “Kenapa dia pilih orang lain berbanding aku?”, “Kenapa
dia sanggup duakan cintaku?”
Begitulah. Selepas perpisahan, terlalu banyak
persoalan yang berlegar dalam fikiran. Adakalanya fikiran sendiri mempermainkan
kita. Terlalu asyik dengan persoalan kenapa, kenapa dan kenapa. Persoalan itu
pula terbiar tanpa sebarang jawapan. Peritnya perasaan. Aneh!
Melepaskan insan yang pernah kita sayang, bukan
mudah. Terlalu banyak memori yang manis dilului bersama selama bertahun-tahun.
Ungkapan dibibir memang mudah untuk mengatakan perpisahan. Namun, dalam hati
masih tidak ikhlas. Tidak salah sebenarnya untuk kita melepaskan dia terbang
bebas mencari kehidupan yang lebih bahagia. Mungkin dia tidak bahagia bersama
kita.
Untuk
lalui hari-hari selepas perpisahan juga bukan mudah. Langkah harus diteruskan.
Yang sudah tu, sudahlah. Tapi, tidak semua orang kuat untuk terima kenyataan.
Tidak semua orang mampu. Ikhlaskan hati, suatu hari nanti ia pasti membuatkan
kita semakin faham mengapa ini semua berlaku. Percayalah.
Mulut
kita mengatakan ikhlas. Kalau betul-betul ikhlas mengapa masih sakit hati?
Kalau ikhlas itu betul-betul daripada hati mengapa masih teringat dan tidak
berhenti untuk memikirkan dia? Kenapa masih menderita dengan apa yang telah
berlaku? Hanya ada satu sebab, kita sebenarnya masih belum betul-betul ikhlas.
Ikhlaskanlah hati walaupun derita rasanya. Malah jangan lupa, disebalik
penderitaan kita dalam melangkah ketika ini untuk meneruskan hidup yang baru
pasti hadir satu nikmat yang cukup indah.
Mengimbau
satu peristiwa lama. Pernah satu ketika, seorang sahabat setiap hari murung
setiap masa. Apabila ditanya mengenai keadaan dirinya tidak pula memberi
sebarang respons. Agak lama juga dia berada dalam keadaan begitu. Ia menjadi
satu masalah yang merumitkan apabila rakan-rakan yang lain pula yang turut
terasa tempiasnya. Aduhai, kalau ketika ini orang lain sedang menyakitimu, tidak
perlu pula jadikan rakan-rakan sebagai mangsa keadaan.
Rupa-rupanya,
tidak lama selepas itu, saya dapat tahu bahawa dia baru sahaja putus cinta.
Selama ini, bukan tidak risau dengan keadaannya, lebih-lebih lagi apabila
terlihat dia begitu lemah untuk berhadapan dengan ujian. Kemudian, saya dapat tahu
juga, selama ini dia seolah-oleh memijak maruahnya sendiri. Merayu simpati
daripada insan yang tidak menghargainya untuk kembali kepadanya semula.
Alahai,
sahabat-sahabatku yang baik, akan aada waktunya hati kita berasa tidak bahagia
dengan kebahagiaan orang lain. Mampukah seorang insan yang baru sahaja
disakiti, kemudian dengan penuh keyakinan mengucapkan, “Alhamdulillah, ya
Allah. Aku pasti Engkau telah merancang perjalanan hidupku dengan yang lebih
baik daripada ini.”
Mampukah
kita sebagai manusia biasa menerima secara ‘bulat-bulat’ dengan hal yang baru
sahaja berlaku, padahal perancangan kita sudah cukup jauh? Yang punya iman
tentu boleh terima dengan mudah. Namun, runtuh juga iman seketika apabila yang
perit dan yang pahit harus diterima dengan kekuatan hati untuk bermujahadah.
Memang
sukar untuk melupakan seseorang itu pergi. Apatah lagi seseorang itu pernah
berjanji untuk sehidup semati. Ditambah pula seseorang itu adalah insan yang
selalu menjadi peneman tatkala kita sedang sakit. Dia jugalah yang setia
mendengar rungutan kita setiap hari. Dia jugalah yang selalu ada untuk menjadi
pendengar setia terhadap cerita bodoh kita hampir setiap masa.
Memang
susah untuk melupakan segalanya. Kini, tiada lagi lagi insan yang setia menjadi
peneman tatkala kita sedang sakit. Tiada lagi pendengar setia terhadap cerita
bodoh yang ingin kita sampaikan setiap hari. Kita telah dihantui dengan
perasaan memikirkan terpaksa untuk
bersendirian. Saya pasti, mana mungkin begitu mudah untuk melupakan
kenangan indah itu dalam masa sehari.
Namun,
tepuk dada tanya iman, sampai bila? Sampai bila kita hendak terkurung dengan
kenangan lalu? Sampai bila kita berhenti untuk berharap dia akan kembali? Kita
seharusnya belajar daripada kesilapan dan kekurangan. Semakin lama kita hidup,
kita sepatutnya semakin boleh membaca rentak takdir yang bakal berlaku. Sebelum
ia berlaku lagi, persiapkan diri dengan hati yang kental. Bertabahlah buat
seketika. Setiap ujian yang kita tidak suka, pasti ada hikmah yang tidak
terduga.
Motivasikan
keikhlasan kita untuk melepaskan dia pergi. Ingatlah, dalam menjajalani
kehidupan kita di dunia ini, jangan terlalu berpegang kepada kenangan lalu.
Jangan biarkan diri berada dalam kisah lama. Keluarkan hati daripada keadaan
yang kucar-kacir. Susun semula perjalanan hidup dengan baik. Serahkan hati
kepada Tuhan. Hati kita bukan miliknya, tapi hati kita milik Tuhan. Hanya Tuhan
yang mampu membahagiakan kita selamanya.
Comments
Post a Comment