Kita Ada Tugas; Buang Seseorang yang Pernah Terpahat di Hati


“Cikgu, boleh tak bagi saya sedikit tips macam mana nak move on dengan “kisah” lama? Sudah berapa kali saya cuba, hasilnya tetap sama. Ia sentiasa berlegar-legar dalam fikiran. Ke sana saya teringat, ke sini pun teringat. Apa yang perlu saya buat lagi cikgu? Saya harap cikgu dapat selesaikan masalah saya ni.” 
            Alahai, saya ingatkan mesej daripada maxis tadi. Sebab itulah apabila nada dering mesej berbunyi agak lambat juga baru saya buka. Jarang sekali zaman sekarang ni sahabat-sahabat, suadara mara, orang-orang terdekat atau kenalan-kenalan kita yang menggunakan pesanan ringkas seperti ini. Maklumlah, zaman sekarang, orang ramai lebih gemar menggunakan aplikasi telefon pintar untuk berhubung.
            Usai membaca mesej ringkas daripada anak murid itu tadi, fikiran saya melayang seketika. Kisah lama? Apa yang dia maksudkan? Mengenai apakah yang dia ingin sampaikan? Putus cintakah yang dia maksudkan? Atau dia sedang rindukan kawan-kawan lama? Mungkin ya, mungkin tidak. Mungkin juga masalah ini berat baginya. Tidak mungkin dia perlukan bantuan jika masalah ringan yang sedang dialaminya itu. Tidak kisahlah, apa sekali pun masalahnya yang sebenar. Tapi saya faham benar usaha yang sedang dia lakukan.
            Sebelum itu, pertama sekali kita harus faham bahawa apa jua masalah yang sedang kita hadapi adalah menjadi kesilapan jika kita meminta orang lain untuk menyelesaikannya. Berbalik kepada sepotong ayat mesej itu tadi yang berbunyi, “..saya harap cikgu dapat selesaikan masalah saya ni.” Inilah kesilapan yang sering kali kita terlepas pandang. Masalah kita, kita yang perlu selesaikan. Tidak perlu untuk meminta orang lain untuk selesaikannya.
            Sahabatku sekalian, orang lain tidak dapat selesaikan masalah yang sedang kita hadapi, tetapi mereka di luar sana hanya dapat membantu untuk menyelesaikan masalah tersebut. Peranan diri sendirilah yang dapat menyelesaikan masalah. Bukan orang lain. Kalau kita renungkan kembali sejarah hidup yang pernah kita lalui, barangkali kita sering bertemu dengan pelbagai perkara yang menjadi ‘plot point’ dalam hidup kita.
            Peristiwa yang pernah melukakan hati kita, yang pernah membuatkan jiwa kita  cukup menderita, akhirnya menjadi asbab untuk kita mengecapi hidup yang lebih gembira dan sempurna. Setiap berakhirnya satu kisah, maka bermulalah bab kehidupan yang baharu. Jadi, andai pada ketika ini, kita sedang bersedih hati, bertabahlah buat seketika. Pujuklah hati untuk berpadah-padah melayan rasa.
            Sememangnya bukan mudah untuk kita bergerak daripada satu fasa kepada fasa yang lain. Bukan mudah. Bayangkan sahaja bagaimana gigihnya orang yang sedang berpindah rumah. Kerja-kerja mengemas, menyusun, membersihkan dan mengangkut membuatkan badan rasa penat yang teramat. Hasilnya, dapatlah juga menikmati kehidupan di dalam rumah yang baharu dan lebih selesa serta tenang pada keesokannya. Begitulah juga bagaimana hati kita yang perlu untuk berhijrah daripada satu fasa kepada fasa yang baharu.
            Penat lelah bukan penghalang untuk mencapai kebahagiaan pada hari berikutnya. Berkorban sedikit apa salahnya. Saya faham, semua manusia perlukan kekuatan tatkala kesedihan melanda. Melepaskan kisah silam bukanlah perkara mudah. I`ve been there. Walhal, kesedihan itu datangnya daripada mana? Oleh siapa? Apa yang saya boleh kata, kita sepatutnya berbalik kepada Tuhan, baiki hubungan dengan-Nya, dan semuanya akan dipermudahkan.
            Kita boleh terus berharap dan berusaha, namun jangan mudah kecewa andai kemahuan dan harapan kita masih belum terlaksana. Pujuklah hati, jangan dibiarkan jiwa kita terus menderita. Andai sahaja ketika ini kita bersedih kerana ada yang kita harapkan masih tidak kesampaian, mungkin lebih baik begitu. Anggap sahaja begitu. Bersangka baiklah. Itu yang terbaik.
            Menjawab kepada soalan murid itu tadi, bagaimana untuk memperoleh kekuatan? Mungkin pesanan ringkas ini sedikit membantu. Pertama, tekad! Apa pentingnya tekad dalam penghijrahan daripada fasa lama kepada fasa yang baharu? Ini sedikit sebanyak mampu beberikan diri kita sendiri peluang, iaitu peluang untuk hidup lebih bermakna. Dengan meletakkan diri kita dalam frasa yang lama membuatkan diri sendiri yang menutup peluang untuk kita mendapatkan kehidupan yang lebih baik. Tepuk dada, tanya selera.
            Kedua, jangan sesekali meletakkan kebahagiaan itu kepada orang lain! Kenapa? Andai sahaja kebahagiaan itu kita letak pada si dia, ia tidak menjamin untuk bersama dengan kita selamanya. Jangan mudah untuk terpedaya dengan manusia. Kata-kata indah cukup mudah untuk dilontarkan. Dunia ini penuh dengan tipu daya. Kebahagiaan itu dimiliki oleh Tuhan, mintalah daripada-Nya. Lambat atau cepat, pasti kebahagiaan yang kita minta dapat dikecapi. Alangkah indahnya jika begitu. Dan memang itulah yang akan berlaku.
            Ketiga, redha! redha? Ya, sifat ini antara yang terpenting untuk membantu kita yang sedang berada dalam penghijrahan fasa dalam kehidupan. Kita perlu redha untuk melepaskan apa yang sudah lepas. Dalam pepatah Inggeris, there will come a time when you believe everything is finished. That will be the beginning. Ibarat membaca buku. Setiap berakhirnya satu kisah, maka bermulalah bab kehidupan yang baharu. Tarik nafas dalam-dalam. Berhenti untuk mengeluh dan merungut. Bila kita tidak lagi mengeluh dengan ujian yang sedang menimpa, itulah redha. Nescaya, ikhlas akan datang kemudian.
            Seterusnya, sabar! Cukup mudah diungkapkan oleh bibir, tapi hakikatnya kita sebagai manusia, selalu mengehadkan kesabaran itu. Sabar itu indah, namun payah. Begitu juga dengan penghijrahan yang sedang kita lalui, ia adalah pengorbanan yang cukup sukar dan menyeksakan. Kadang-kadang kita rasa lelah kerana terpaksa buat bermacam-macam dalam keadaan kita yang sedang tersakiti. Namun, perjalanan yang disebutkan ini juga sebenarnya menjadi suatu perjalanan yang sangat indah dalam hidup kita. Ingat mudah untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu? Bersabarlah, pasti perjalanan itu menjadi indah dalam hidup kita.
            Kelima, Hikmah! Saya ingat lagi, sahabat saya pernah berkata, setiap kali dia ditimpa musibah, tidak pernah sekali pun untuk dia terlepas mencari hikmah terhadap apa yang berlaku. “Tunggu dan terus untuk menunggu. Kita harus mencari hikmah yang Allah nak kasi, pasti ada satu atau lebih pengajaran yang tersembunyi. Penat memang penat. Namun lebih baik penat berpahala berbanding penat yang sia-sia. Kawal diri daripada merungut. Semua ini ada hikmah.”
            Keenam, ibrah! Ibrah itu pengajaran dan pembelajaran, a lesson. Sesuatu yang dapat kita kutip sepanjang apa yang telah kita alami dalam kehidupan. Lesson learnt itu mungkin dalam bentuk sejarah diri kita sendiri atau mungkin juga melalui sejarah kehidupan orang lain. Belajarlah untuk positifkan diri sendiri. Terima apa yang berlaku. In life supposed to have give and take. Kita dapat sesuatu, orang lain juga dapat sesuatu.
            Selanjutnya, terus melangkah! Melangkah ke jalan kehidupan baru memang sukar. Adalah lebih baik jika kita terus melangkah dan teruskan kehidupan berbanding masih berada dalam kisah silam. Kisah silam yang tiada lagi memberi makna apa-apa kepada diri sendiri. Kisah silam yang tiada lagi kaitan dengan diri kita. Tiada lagi sebab mengapa harus kekal dalam kisah silam. Kadang kala kita tidak mahukan perubahan. Namun kita perlu berubah untuk terus mengecapi kebahagiaan.
            Kelapan, terima takdir! Sebab itulah kadang-kadang kita merasakan tidak bahagia kerana kita tidak lagi menerima takdir yang telah tertulis. Percayalah, setiap yang hadir mengajar tentang sesuatu. Jatuh bangun dan luka itu memberi pengajaran. Menjadi manusia yang berpengalaman dan yang lebih matang tentang kehidupan. Tidak semua cerita akan berakhit indah tapi aka nada salah satu daripada jalan-jalan yang kita lalui itu berakhir dengan indah.
             Kesembilan, jangan bersedih! Bukan bermakna tidak boleh bersedih walaupun sedikit. Bukan juga bermakna langsung tidak boleh meratapi musibah. Kadang kala kita juga perlu untuk mengalirkan air mata, kerana kuasa air mata sungguh hebat. Ia mampu melahirkan kekuatan yang hilang. Namun, bersedih yang terlalu lama akan merosakkan jiwa kita. Bila kita hilang dalam kesedihan yang keterlalun, maka kita lebih mudah melakukan kesilapan demi kesilapan. Mungkin sukar untuk berpegang kepada realiti dan tidak sedar bahawa itu hanyalah emosi yang menggangu pemikiran.
            Yang terakhir, doa dan tawakal, kita sudah berusaha! Kita sudah berusaha untuk keluarkan diri kita dari frasa yang lama, dan bila kita kata, “Aku tak mampu, aku tak kuat, aku..”, sekali lagi sabar dan jangan pernah putus asa dengan rahmat-Nya. Tapi, jika tidak mampu untuk memulakan langkah, doalah, moga Tuhan kuatkan kita langkah kita, moga Tuhan tekadkan jiwa kita.
            Kita harus ingat, ramai orang lain berkata tutup buku lama dan lupakan ia. Ia tidak lagi berguna. Tidak salah apa yang orang lain perkatakan ini. Namun, alangkah indahnya jika buku lama itu jangan terus ditutup dan dibuang. Sesekali ia perlu diselak kerana yang lalu itu adalah merupakan pengajaran yang terindah. Sesekali juga pasti ada angin yang datang menyentuh sayu jiwa, tetaplah teguh moga angin yang menyapa terus mendamaikan.
            Sahabatku yang baik, jangan pernah berhenti berhubung dengan Tuhan. Bercakap dengan-Nya. Beritahulah setiap apa yang kita rasa. Dialah yang mencipta dunia dan seisinya dialah yang mencipta kita semua. Dia jugalah yang dapat menggantikan semula kesedihan dengan kegembiraan.
            Saya percaya, jika kita memilih untuk move on, kita harus bersedia dengan menahan kesakitan yang teramat untuk membuka jalan kepada lembaran yang baru dalam kehidupan kita kelak. Tetapi jika kita memilih untuk tinggal dengan kisah lama, kesakitan yang kita rasa itu semakin bertambah dan bertambah sehinggalah merosakkan jiwa. Jangan pernah menyesal dikemudian hari. Kita harus sedar, perkara inilah yang boleh membunuh kita suatu hari nanti. Bergeraklah dari sekarang. 

Comments

Popular posts from this blog

Kaunseling Silang Budaya Secara Umum dan Bagaimana Ia Relevan Dalam Konteks Sekolah Rendah

PENGURUSAN PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING

Teknik Ucapan Yang Berkesan