Teknik Ucapan Yang Berkesan

Berucap ialah istilah untuk public speaking di  dalam bahasa Inggeris. Ucapan yang berkesan mengandungi lapan langkah iaitu :

1) Memilih topik dan tujuan ucapan

Topik yang menarik ialah topik yang menarik kepada kita, dan juga menarik kepada orang yang akan mendengar ucapan kita itu. Topik itu ialah topik yang akan mengukuhkan sikap dan kepercayaan mereka sekarang, bukan topik yang menentangnya. Sekurang-kurangnya pilih topik yang neutral kepada mereka, iaitu tidak mereka sokong dan tidak pula mereka tentang.

       Apakah tujuan kita berucap? kita boleh berucap untuk memberi maklumat kepada para pendengar kita dan kita boleh juga berucap untuk mempengaruhi mereka. Apabila kita hendak memberi maklumat ada beberapa perkara yang boleh kita buat. Kita boleh memberi penjelasan, penerangan lanjut, membetulkan salah faham, menerangkan bagaimana sesuatu itu dilakukan dan lain-lain. Supaya ucapan kita berkesan, gunakan banyak contoh, ilutrasi, definisi, bukti-bukti, dalil dan lain-lain alat bantuan. Untuk mempengaruhi orang, kita boleh memperteguh sikap mereka, mengubah kepercayaan mereka, memberi motivasi atau mengubah kepercayaan tingkah laku mereka. Apabila memlilih tujuan berucap, tujuan itu biat tepat, atau terbatas, bukan terlalu am atau banyak.

2) Analisis Hadirin

Untuk berucap dengan berkesan, ucapan kita mestilah sesuai didengar oleh hadirin kita. Jadi, kita perlu mengenali siapa mereka itu. Apakah perkara-perkara yang mereka sudah tahu? Apa perkara yang mereka ingin tahu? Apa sikap dan kepercayaan mereka sekarang? Apakah kumpulan usia mereka. Adakalh mereka lelaki, perempuan atau bercampur-campur? Apa bangsa dan agama mereka? Apa pekerjaan mereka?

3) Kajian mengenai topik

Supaya ucapan kita memberi faedah kepada hadirin, kita mestilah membuat kajian berkenaan topik yang kita pilih. Baca buku-buku atau majalah-majalah yang berkaitan. Berundinglah dengan orang-orang lain yang tahu berkenaan topik tersebut.

4) Rumuskan tema topik

Mauduk topik ialah perkara yang hendak kita sampaikan kepada hadirin. Kalau kita berucap untuk memberi penerangan, tema kita ialah perkara yang kita mahu supaya mereka fahami, umpamanya kita hendak mereka faham bahawa Pemikiran Lateral ialah sejenis teknik berfikir kreatif. Kalau kita berucap untuk mempengaruhi hadirin, tema kita ialah idea yang kita mahu supaya diterima oleh hadirin, umpamanya, kita patut belajar teknik-teknik berfikir secara lateral. Selepas itu kita kenal pasti pula unsur-unsur yang mesti ada di dalam ucapan kita. Untuk ucapan penerangan, mesti ada jawapan kepada unsur-unsur "Apa?", "Bagaimana?", "Siapa?", dan "Bila?." Untuk ucapan yang cuba mempengaruhi hadirin, unsur yang penting ialah "Mengapa?"

5) Sokongan Pada Mauduk

Topik dan tema mestilah disokong dengan memberi definisi, huraian, contoh-contoh, ilutrasi, bukti-bukti, dalil-dalil dan alasan-alasan. Kita boleh gunakan data, fakta, statistik, kes-kes, peta, rajah, carta dan macam-macam lagi.

6) Susunan Bahan

Apabila semua bahan-bahan sudah cukup, bahan-bahan itu mesti disusun supaya ucapan kita berkesan. Salah satu cara susunan yang popular ialah susunan masalah-penyelesaian. Bahagian awal ucapan kita itu menerangkan apa masalah yang ada, manakala bahagian keduanya menerangkan cara-cara menyelesaikannya. Sebagai contoh, mula-mula kita memberitahu masalah kenapa sesetengah orang tidak kreatif. Selepas itu kita terangkan bagai-mana pemikiran lateral dapat menjadikan kita lebih kreatif.

7) Pemilihan Perkataan

Bagi memudahkan hadirin memahami apa yang kita ucapkan semasa berucap, pilihlah perkataan-perkataan yang hadirin sendiri biasa gunakan. Jangan gunakan perkataa-perkataan dan istilah-istilah yang kita sahaja yang tahu, walaupun istilah-istilah itu "tepat" dan "betul" dari segi ilmunya. Gunakan kata-kata konkrit seperti "naik", "meningkat" dan "maj." Jangan gunakan kata-kata abstrak seperti "kenaikan", "peningkatan" dan "kemajuan." Gunakan gaya bahasa peribadi, iaitu gaya yang kita gunakan untuk bercakap hari-hari. Katakan "kita suka cara ini", bukan "cara ini adalah kesukaan kebanyakan orang."

8) Reka Penutup dan Pembukaan Ucapan

Yang elok kita reka dulu ialah penutup ucapan kita, bukan pembukaannya. Penutup sangat penting. Berdasarkan cara-cara kita menutup ucapan, hadirin boleh tahu siapa kita. Penutup ucapan ada dua fungsi. Pertama, ia meringkaskan tujuan dan isi ucapan kita. Kedua, ia mengakhiri ucapan kita dengan sedap dan bagus. Sediakan pembukaan ucapan kita akhir sekali iaitu selepas kita sudah siap menyusun isi dan penutup ucapan. Jadi, sesudah kita tahu apa keseluruhan bahan ucapan, barulah kita buat pembukaan yang sesuai untuknya. Pembukaan juga ada dua fungsi. Pertama, ia menarik minat dan perhatian hadirin supaya terus mendengar ucapan kita. Caranya ialah kita beritahu apa pentingnya topik kita itu pada mereka. Kita boleh memberi cerita, peristiwa, statistik atau lain-lain bahan yang menarik minat mereka. Kedua, pembukaan kita mesti memberi gambaran apa yang akan mereka dengar dalam ucapan kita nanti.

Rujukan

Abdullah Hassan & Ainon Mohd. (2000). Teori dan Teknik Ucapan Berpengaruh. Kuala Lumpur : PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.



Comments

Popular posts from this blog

Kaunseling Silang Budaya Secara Umum dan Bagaimana Ia Relevan Dalam Konteks Sekolah Rendah

PENGURUSAN PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING