Dilema Kekasih Hati Dirampas Sahabat Sendiri

Pepatah Melayu yang sering kita dengar iaitu, harapkan pagar, pagar makan padi, sudah sinonim dalam kehidupan masyarakat kita. Ia bukan hanya tertumpu kepada persoalan cinta, bahkan juga banyak tertumpu kepada berlaku dalam semua hal. Apabila kita memberi harapan dan kepercayaan kepada orang ataupun mengamanahkan sesuatu perkara, kita mengharapkan perkara itu dipenuhi oleh pemegang amanah.

            Tetapi kita perlu ingat, hidup dalam dunia ini tidak semua orang berlaku jujur. Mungkin kita katakan rambut sama hitam, namun hati lain-lain. Oleh itu, apabila kita  meletakkan kepercayaan ataupun harapan pada individu, jangan meletakkan harapan yang terlalu tinggi sehingga kita menjadi kecewa kerananya. Keyakinan kita hanya kepada Allah. Biarpun begitu, perlu juga kita ingat, tidak semua manusia bersikap tidak amanah, bahkan ada yang cukup jujur dan boleh dipercayai.

            Dalam hal percintaan, kita perlu berwaspada, perasaan itu boleh berubah-ubah. Oleh itu, cinta kepada manusia perlu sekadarnya sahaja. Cinta sejati hanya kepada Allah semata-mata yang kekal selama. Ada segelintir yang apabila kecewa dengan cinta, sanggup membunuh diri dan menutup pintu hati kepada semua. Ini memberi kerugian kepada diri kerana kita menutup pintu kepada rezeki yang mungkin Allah berikan lebih baik daripada sebelumnya.

            Putus cinta dengan orang yang kita sayangi, kerana dia beralih hati dan cita rasa, perlu kita lihat secara positif. Mungkin dia bukan orang yang terbaik untuk kita. Tetapi, kita buta hati melihat kebenaran kerana perasaan cinta menutup kebenaran itu. Ramai yang bernasib malang kerana cinta. Lalu, mereka menutup pintu hati melihat kebenaran berkenaan pasangan mereka. Sehinggakan, ada segelintir yang sanggup menggadai maruah, harta benda, bahkan didera, dan dimanipulasikan oleh pasangan semata-mata kerana sayang.


            Pada yang berasa teraniaya oleh sahabat kerana merampas kekasih hati, percaya, Allah ingin mengajar kita belajar mengenali sikap dan perangai manusia sekeliling supaya kita sentiasa berhati-hati dalam hidup. Tidak semestinya dalam hal percintaan, tetapi banyak lagi hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan. 

Comments

Popular posts from this blog

Kaunseling Silang Budaya Secara Umum dan Bagaimana Ia Relevan Dalam Konteks Sekolah Rendah

PENGURUSAN PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING

Teknik Ucapan Yang Berkesan