Pada Siapa Perlu Luah?
Di
sekolah, kadang-kadang aku digelar cikgu. Adakalanya aku dipanggil Sir. Tapi
setakat ni tiada lagi murid-murid aku yang berani nak panggil abang! Ngeh!
Tak kisahlah pasal gelaran tu.
Panggil je la apa pun, yang penting menunjukkan mereka tu hormat pada aku.
Jumpa diluar sekolah nak panggil abang pun tak kisah. Dalam kelas, aku suka
tanya perasaan mereka. Setiap kali masuk ke kelas, itulah yang menjadi set
induksi/permulaan bagi sesi pdp aku. Lalu, apa jawab mereka?
Sudah semestinya akan ada yang jawab
gembira, sedih, teruja, mengantuk, malas, bosan dan macam-macam lagi. Malah,
ada juga yang bagi tahu tak rasa apa-apa pun. Tak pelik, sebab aku tahu,
mungkin itu sekadar lawak tahap mereka. Aku cuba untuk terhibur. Ya, begitulah
cara untuk dekati mereka dan mungkin begitu jugalah cara untuk menjadikan
mereka rasa mereka sedang diberikan perhatian oleh aku.
Kenapa aku suka tanya perasaan
mereka? Selain apa yang aku cakap tadi, sebenarnya aku suka mendengar. Daripada
apa yang aku dengar, kadang-kadang lain jawapan yang mereka berikan. “Saya rasa
malas nak ke sekolah, homework banyak
sangat cikgu. Tak sempat nak siapkan semalam!”, “Saya tak suka cikgu B, sebab
cikgu B selalu marah kitaorang.”, “Saya tak puas hati dengan si A cikgu, dia
suka mengata belakang!” Begitulah. Banyak lagi jenis perasaan yang mereka
luahkan. Kalau nak dengar semua, habislah masa mengajar aku tu dengan hanya
mendengar je. Budak pun suka. Sebab apa? Sebab tak belajar!
Dalam banyak-banyak cerita yang
mereka sampaikan, jarang sekali yang akan ceritakan masalah di rumah. Ada pun,
cerita yang telah ditapis. Tidak terlalu terperinci. Lalu, apa yang aku buat? Ya,
bersesuaian dengan bidang aku. Aku pun panggillah yang mana aku dapat kenal
pasti memang ada masalah dirumah untuk cerita dengan aku, tetapi dia tak nak
cerita dalam kelas sebab malu.
Bila hanya berdua, malu tetap masih
ada. Tahulah bagaimana skill yang aku
dah belajar untuk membantu mereka yang masih malu-malu tu buang jauh-jauh sifat
mereka. Mostly, mereka yang aku
panggil tu memang ada masalah di rumah. Sama ada masalah dengan ibu bapa atau
adik beradik. Ada yang masalah ringan, setakat gaduh-gaduh kecil dengan
adik-beradik. Ada juga masalah berat, kes ibu bapa bercerai yang puncanya aku
kena rahsiakan. Hee.. Haruslah rahsia..
Sebenarnya, apa yang aku nak
sampaikan dekat sini ialah kadang-kadang kita sukar untuk luahkan masalah
kepada orang lain. Sedangkan kita tidak malu pun untuk cerita masalah di alam
maya. Luah ini dan luah itu. Tanpa ditapis dan tanpa segan silu. Itu tidak lagi
termasuk gambar-gambar yang diselitkan bersama. Seolah-olah ayat yang ditulis nampak
seperti putus harapan pun ada. Aduhai, gigihnya kita untuk menagih simpati.
Tanpa peduli pandangan orang lain,
sesi luahan di alam maya tetap berjalan. Sekali dua mungkin orang ambil peduli.
Kalau sudah berkali siapa yang tidak naik bosan? Nanti ada juga yang ambil popcorn sambil baca luahan kita. Faham tak
maksud aku tu? Kalau tak faham bermakna awak yang tengah baca ni kena banyak
membaca lagi. Kahkahkah..
Okey, apabila ada pula orang yang
tanya kita, “Apa yang terjadi?”, “Apa masalah awak?”, “Awak ada masalah ke?
Kongsilah dengan saya”, Kalau awak tidak keberatan untuk kongsi masalah awak
tu, saya sedia untuk dengar.” Kemudian, dengan hati yang ego dan tinggi
melangit kita pun jawab, “Eh, tak de apa-apalah! Aku okey je!”, Tiada apa-apa
masalah, terima kasih!”, “Saya okey, jangan risau.” Jangan risau? Habis tu? Bukankah
itu yang kita mahukan? Orang risau dengan kita? Orang risau dengan keadaan kita
sekarang yang tengah berduka, bersedih dan merana? Hmm.. Ketika menaip bukan
main lagi sedihnya.
Ya, hak menceritakan sesuatu memang
menjadi satu hal yang bukan main-main. Bukan dengan semua orang boleh diceritakan.
Bukan semua orang boleh ‘simpan’ apa yang kita luahkan. Tapi tahukah kita? Apa yang
kita luahkan di alam maya tu menjadi perbualan orang di sekeliling kita? Menjadi
umpatan rakan-rakan kita? Tak tahu? Atau dah sedia tahu sebelum tekan button post? Kalau dah tahu, tanya diri kita
apa yang kita mahukan sebenarnya?
Mungkin apa yang kita mahukan tu
tidak semua orang boleh tunaikan. Tidak semua orang boleh laksanakan. Kita mahukan
mereka dengar kita. Kita mahukan mereka faham keadaan kita lalu bersimpati
dengan nasib yang telah buat kita tersiksa. Begitu, bukan? Alahai. Jadi, pada
siapa nak luah? Tempat mana yang sesuai untuk menceritakan kisah duka kita? Kalau
ada sekali pun, mesti mereka tak akan faham apa perasaan kita!
Aku faham benar, ramai yang tidak
selesa untuk menceritakan masalah peribadi kepada orang lain. Ramai yang tidak
gemar untuk meluahkan masalah psikologinya kepada manusia. Lebih-lebih lagi
masalah itu mungkin membuka aib kita. Atau masalah itu buat kita malu kepada
mereka. Ramai juga jenis yang suka pendam. Biarlah masalah itu hilang ditelan
zaman dan kita pun berkata, “Kalau aku luah sekali pun, mereka tak akan faham!”
Tapi sampai bila? Sampai bila kita nak biarkan ia menghantui hidup kita?
Sahabat-sahabatku sekalian, jangan
begitu. Mereka memang kurang faham. Atau mereka sama sekali tidak faham apa
yang kita rasa. Ceritalah pada siapa yang kita percaya. Ceritalah pada tempat
yang kita selesa. Bahkan, cerita dengan haiwan sekali pun tiada masalah! Terpulanglah,
nak luah atau nak simpan sampai bila-bila. Asalkan kita tidak nampak terlalu ‘terdesak’
di alam maya!
Comments
Post a Comment