Dear Zindagi (Wahai Kehidupan)
Aku baru ja habis
tengok filem Dear Zindagi (2016). Ketinggalan sikit. Aku bukan kaki movie. Tapi
suka tengok movie. Aher!
Apa yang aku nak simpulkan dekat sini bukan nak hurai
panjang-panjang sinopsis filem tersebut. Bukan juga nak bagi apa-apa komen siapa
pengarah dan penerbitnya. Aku bukan seorang pakar dalam bidang ni. Apa yang
buat aku tertarik ialah watak seorang kanak-kanak yang bernama Kaira. Watak
Kaira dalam filem ni sebenarnya sudah pun dewasa yang dimainkan oleh Alia Batt.
Kaira, pengarah fotografi (DOP) yang mendapat pendidikan di New York.
Kaira telah
mengalami beberapa masalah psikologi dan dia membuat keputusan untuk berjumpa
dengan seorang ahli terapi. Watak ahli terapi tersebut dimainkan oleh Shah Ruhk
Khan iaitu sebagai Dr. Jug. Apabila dia mulai menjalani sesi bersama Dr. Jug,
seolah-olah kita juga boleh merasakan menjalani sesi terapi bersama mereka. Sebenarnya,
Kaira mempunyai masalah psikologi sejak kecil lagi. Urusan perniagaan yang
telalu sibuk oleh ibu bapanya menyebabkan dia telah dihantar ke rumah atuk dan
neneknya.
Di situ, sering
kali dia mengirim surat buat kedua-dua orang tuanya. Namun, surat itu tidak
berbalas. Tanpa berputus asa, dia masih mengirim surat hari demi hari. Sehinggalah
setahun selepas itu, dia dikunjungi oleh ibu bapanya. Suatu hari, Kaira berasa
amat cemburu dengan adik lelakinya sendiri kerana ibunya hanya memberi
perhatian dan kasih sayang kepada adiknya sahaja. Dia merasakan seolah-olah dia
tidak disayangi lagi.
Pada ketika itu
juga dia terdengar perbualan ibu dan atuknya yang telah menjawab kenapa surat
yang dikirim oleh Kaira tidak dibalasnya. Ibunya berkata, mereka masih lagi
tidak mahu memberikan harapan palsu kepada Kaira dengan alasan sibuk dalam
urusan perniagaan. Untuk menjaga dua orang anak, bergerak ke sana dan ke sini
bukanlah perkara yang mudah. Oleh sebab itulah mereka tidak sampai hati untuk
membalas surat yang telah dikirim oleh Kaira.
Begitu sukar
untuk Kaira terima apa yang telah dia dengari daripada perbualan ibu dan
atuknya. Selepas itu, dia sudah tidak lagi mengirim surat kepada kedua-dua
orang tuanya. Harapannya musnah. Harapannya hancur. Seperti tiada masa depan
lagi buatnya. Tidak lama selepas itu, ibu bapa Kaira datang pula untuk
menjemputnya tinggal bersama mereka. Sekali lagi Kaira mengalami satu perasaan
psikologi yang teruk kerana terpaksa berpisah dengan atuk dan neneknya. Dia merasakan
kedua-dua orang tuanya terlalu tergamak memisahkan dia daripada insan yang
telah menjaganya setelah sekian lama.
Sehinggalah
dewasa, telah beberapa kali Kaira kecundang dalam dunia percintaan. Bagi yang
dah tengok, tahulah bagaimana jalan ceritanya. Ditambah lagi, dia telah dibuang
kerja lalu terpaksa berpindah rumah bersama keluarganya di Goa. Konflik yang
telah dia hadapi menyebab dia sering kali memikirkan tentang ‘zindagi’ iaitu kehidupan. Lalu, perkara
inilah yang juga menyebabkan dia susah untuk tidur ketika malam. Selepas beberapa
kali menjalani sesi terapi bersama Dr. Jug, Kaira sudah pun menemukan ‘kehidupan’
yang dia hasratkan. Hidupnya bahagia. Bahagia disamping keluarga tercinta dan
telah berjaya menghasilkan sebuah filem pendeknya sendiri.
Sahabat-sahabatku
sekalian, cuba renungkan diri kita sendiri. Berapa kali kita sudah ‘hanyut’
dalam kehidupan? Sudah berapa kali kita ‘sangkut’ dalam kehidupan? Sudah berapa
kali wujudnya ‘peristiwa’ silam yang mengubah kehidupan kita? Dan tanyakan lagi
kepada diri, bagaimana keadaan kita pada ketika itu? Bagaimana perasaan kita? Apa
yang kita lakukan selepas itu? Merungut? Menyumpah-nyumpah lalu berkata, “Dunia
ini tidak adil!”
“Alahai, cakap
memang senanglah bro. Yang alami tu bukan kau, jadi, kau tak tau bagaimana
rasanya!” ya, betul. Jauh sekali untuk aku tunjuk pandai dalam mengurus
kehidupan. Jauh sekali juga untuk mengajar sahabat-sahabat semua untuk
menghadapi cabaran hidup. Sebab apa? Sebab cara hidup kita berbeza. Kehidupan
kita jauh berbeza. Sama sekali tidak sama.
Aduhai, semakin
lama kita hidup, semakin banyak ‘peristiwa’ yang kita akan hadap satu persatu. Bahkan,
ada juga peristiwa yang tidak enak itu datang kembali walaupun sudah
berkali-kali mengunjungi kita. Ini bermakna, sebenarnya kita boleh jadi semakin
dewasa dan matang. Kita sudah boleh untuk membaca takdir dalam fenomena
kehidupan kita sendiri. Inilah peluang sebenarnya. Peluang untuk kita menjadi
seorang yang lebih baik daripada sebelum ini. Yakin. Hanya letakkan keyakinan
kita kepada Tuhan yang menciptakan ujian.
Dia yang
memberikan ujian, Dia jugalah yang akan memberikan hikmah disebalik ujian itu. Bertabahlah
seketika. Ya, bukan mudah. Tapi kita mampu sebenarnya. Bukan hanya tahu
merungut. Merungut tentang kehidupan. Merungut betapa tidak adilnya dunia
kepada kita. Merungut dan mempersoalkan kenapa kita yang harus menjalani ujian
sebegini. Kenapa kita yang dipilih untuk lalui jalan sukar ini. Bertabahlah,
kerana hidup kita bukan lama. Pasti ada manisnya. Percayalah!
Comments
Post a Comment