Antara Tanggungjawab Dengan Sikap
Lepas cuti selama 2
minggu tibalah masanya untuk kami sebagai mahasiswa pendidik kembali ke kampus
masing-masing untuk meneruskan baki semester yang masih ada. Rutin bagi aku,
setiap kali kembali ke kampus wajib untuk menaiki dua kali penerbangan atau
menaiki bas ke Kota Kinabalu selama 5 hingga 8 jam lamanya barulah menaiki
penerbangan ke Kota Bharu. Tapi kali ini aku memilih untuk menaiki dua kali
penerbangan. Jimat masa, tetapi hangus duit poket.
Penerbangan aku tadi telah dihantar oleh keluarga
tercinta. Sejurus sampai saja di lapangan terbang aku pun bersalam-salaman
dengan mereka sambil berkata, “Jumpa lagi dua minggu akan datang” memandangkan
lebih kurang dua minggu lagi tibalah hari yang dinanti-nantikan oleh umat Islam
iaitu sambutan Hari Raya Aidilfitri. Usai saja aku bersalam-salaman bersama
keluarga, aku pun masuk ke dalam lapangan terbang untuk menaiki pesawat yang
akan menerbangkan aku ke destinasi yang hendak dituju.
Seperti biasa, bagi individu yang ingin keluar daripada
negeri Di Bawah Bayu ini dikehendaki untuk melalui pemeriksaan imegresen. Apa
yang berbeza dengan negeri lain ialah di negeri ini perlu melalui pemeriksaan
dokumen pengenalan imegresen pula. Selesai melalui kedua-dua pemeriksaan
berkenaan aku mencari tempat duduk kosong untuk aku labuhkan punggung seketika
bagi menanti panggilan daripada pegawai penerbangan untuk terbang ke udara.
Agak lama juga aku duduk di situ sehingga tempat duduk di
sebelah aku itu telah bertukar dua orang yang berbeza. Aku masih setia menanti.
Menanti kehadiran pesawat yang masih belum tiba. Fikiran aku meleret sedikit. Memikirkan
pada hari ini aku akan berbuka puasa lewat satu jam daripada biasa. Jika di
negeri Bawah Bayu berbuka awal, hari ini aku akan berbuka sedikit lewat. Tapi tidak
mengapa, itu adalah cabaran yang perlu ditempuh dan bukan alasan untuk aku
bermanja-manja.
Kini tibalah masanya untuk kami diterbangkan ke Kuala
Lumpur. Berpusu-pusu orang ramai berbaris bagi menaiki pesawat. Aku kira, aku
berada di kedudukan tengah antara barisan itu. Ada tiga barisan kesemuanya. Barisan
satu adalah untuk penumpang yang duduk di tempat duduk istimewa. Manakala barisan
kedua adalah penumpang yang duduk diantara barisan 20 hingga 31. Barisan yang
terakhir ialah penumpang yang duduk di tengah-tengah pesawat.
Seperti biasa juga, para penumpang akan menyerahkan
dokumen pengenalan kepada pegawai penerbangan sebelum menaiki pesawat untuk
diperiksa. Aku lihat pada barisan ketiga sedikit sesak di hadapan. Aku mendongakkan
kepala bagi mendapatkan sudut pandangan yang lebih jelas. Ingin tahu lebih
lanjut mengenai kekecohan yang berlaku di hadapan tersebut. Dari sudut mata
kasar ini dapat menghuraikan mengenai seorang pegawai lelaki sedang bercakap
dengan seorang wanita yang aku kira usianya mungkin mengjangkau lewat 50-an.
Kemudian, aku lihat lagi wanita tua berkenaan berjalan ke
arah belakang barisan dengan membawa dua kotak yang dibimbit oleh kedua-dua
tangan kiri dan kanannya. Mata aku memandang ke arah pegawai itu tadi pula. Dia
sedang menunjuk-nunjuk ke arah belakang barisan yang sedang disusuri oleh
wanita tua itu tadi. Melalui reaksi muka lelaki itu, sedikit pun tiada
senyuman. Nada suara pula sedikit tinggi. Aku sudah dapat mengagak apa
sebenarnya yang sedang berlaku di hadapan mataku ini.
Ya, wanita itu diarahkan untuk berurusan dengan pegawai
penerbangan yang lain kerana telah membawa barang yang melebihi berat yang
telah ditetapkan oleh syarikat penerbangan. Wanita tua itu tadi terus berjalan
ke belakang. Aku lihat dia diikuti oleh seorang anak kecil yang mungkin usianya
kira-kira 3 tahun. Pandanganku masih setia ke arah wanita itu sehinggalah dia
sampai ke belakang barisan. Namun, bukan berurusan dengan pegawai penerbangan,
tetapi dia sedang bercakap dengan seorang lelaki. Mungkin suaminya.
Terdetik hati ini untuk memberikan bantuan. Memandangkan barang
aku sedang bawa tidak melebihi berat yang ditetapkan. Satu beg komputer riba
yang masih ringan dan satu beg lagi beg bagasi yang juga masih ringan. Dalam hati
ini ingin saja membawa diri ke belakang untuk memberikan tawaran untuk
memasukkan barang wanita itu tadi ke dalam beg aku. Dengan itu, tidak perlulah
pula wanita itu berurusan dengan pegawai penerbangan dan dapatlah dia
menjimatkan wang. Kerana kita mengikut syarat syarikat penerbangan, setiap
lebihan berat barang akan dikenakan bayaran.
Tetapi, ‘cadangan’ mulia itu hanya setakat terkubur di
dalam hati. Ia kuat mendorong untuk kaki aku melangkah ke belakang. Namun, ada
satu lagi ‘kuasa’ yang lebih kuat yang menghalang aku untuk bertemu muka dengan
mereka di belakang. Aduhai, tergamaknya aku. Aku terus melangkah ke hadapan
untuk menaiki pesawat.
Sahabat-sahabatku sekalian, di sini aku tidak mahu
pertikai syarat yang dikenakan oleh syarikat penerbangan tersebut. Bukan juga
untuk mengkritik pegawai penerbangan yang terlibat. Namun, aku ingin mengajak
sahabat-sahabat sekalian untuk berfikir dan memilih antara tanggungjawab dengan
sikap keperimanusiaan. Bukan mudah untuk fikir dan pilih. Ramai yang tersalah
pilih dan ambil jalan mudah.
Kalau kita yang berada di tempat ibu tua itu tadi, apa
perasaan kita? Sudah pasti remuk hati kita. Sudah pasti ingin saja kita merayu.
Merayu simpati dengan hal yang kita tidak duga. Rasa tidak adil dengan sikap
sesetengah manusia. Bila difikirkan semula, tidak rasional pula. Hendak marah,
tetapi kita sendiri yang bersalah.
Andai saja kita sedang berada di tempat pegawai tersebut.
Sudah tentu kitalah yang perlu memilih pilihan itu tadi. Yang mana harus kita
pilih? Tanggungjawab atau sikap keperimanusiaan? Tugas atau hubungan sesama manusia?
Amanah atau kekitaan? Alahai, sungguh pening untuk difikirkan. Susah pula untuk
membuat pilihan. Jadi serba salah pun ada. Aku tahu, amanah tetap amanah. Kerana
amanah itulah yang paling berat untuk dipikul. Dan amanah itu juga yang akan
dipersoal kelak.
Namun, di mana sikap kita yang murni sebagai seorang
manusia? Lebih-lebih lagi kita sebagai anak muda. Perlukah kita bertindak
meninggikan suara hanya dengan kesilapan kecil seorang ibu yang sudah tua? Memang.
Memang kesilapannya itu kesilapan yang agak tidak munasabah. Mungkin kita perlu
bertolak ansur dengan orang yang lebih tua. Mungkin mereka tidak biasa. Tidak biasa
dengan hal-hal yang sebegini. Mereka juga mungkin kurang ‘maju’ seperti kita. Mungkin
juga mereka sedikit lambat ‘update’ berbanding
kita. Ya, dia bukan ibu kita. Tidak perlu untuk bayangkan dia ibu kita. Tetapi,
bayangkan jika ibu kita yang akan alami perkara yang sama. Apa yang kita rasa? Marah?
Fikirlah wahai sahabat. Renung dan fikir.
Jadi, saya percaya anda seorang yang bijak. Sudah mampu
untuk memikirkan dan bersedia untuk berhadapan dengan hal-hal yang serupa. Mana
tahu, di lain hari giliran kita pula? Seandainya itu yang terjadi, buatlah
pilihan yang berguna. Tidak salah untuk kita bercakap dengan nada yang lembut. Dan
meminta maaf walaupun jelas kita tidak bersalah. Kerana kita sedang berurusan
dengan orang yang lebih dewasa. Selamat berfikir dan beramal.
Comments
Post a Comment