Kertas Kosong
Kertas
Kosong
Sementara menanti kelas yang seterusnya, aku
keluarkan sebatang pen dan kertas kosong. Sebenarnya aku pun tidak pasti apa yang
hendak aku tulis. Meleret fikiranku memikirkan apa yang perlu aku conteng atas
kertas itu. Aku menongkat dagu. Timbul rasa malas. Pen aku letakkan kembali di
atas meja.
Aku terfikir seketika. Betulkah
dunia ni boleh buat kita terbang melayang-layang? Mampu buat kita hilang dan
lupa diri? Terbang ke sana dan ke sini. Mampu buat kita angau? Mampu buat kita
khayal seketika? “Mungkin”. Itu jawapan yang selamat! Kadang-kadang aku masih terfikir
tentang jawapan yang perlu aku berikan kepada yang sering bertanya, “Bagaimana
untuk jadi kuat?” Entahlah.
Setelah
apa yang pernah berlaku, perkara yang membuatkan kita tersakiti. Hal yang
pernah buat kita terluka. Yang pernah buat kita tersiksa. Dan semua ini buat
hidup kita tidak tentu arah. Bukan hanya seketika. Tetapi sudah berkurun
lamanya. Jiwa kita merana pada ketika itu. Dengan kudrat yang masih tersisa,
gigih untuk bangkit semula. Merangkak, berdiri dan berjalan tanpa bantuan
sesiapa. Sungguh tidak mudah rasanya.
Akhirnya,
setelah kita berjaya melepasi fasa itu, tanpa kita duga hanya dengan mesej yang
ringas, “Apa khabar?” buat kita kembali jatuh! Sungguh! Hanya dengan itu. Hati
kita kembali menjadi lemah. Hati kita kembali merana. Hati kita kembali
tersiksa. Meronta. Meronta kerana parut lama, berdarah kembali. Itu yang buat
kita kembali menjadi lemah.
Pernah
seorang sahabat datang mengadu. Selama 3 tahun jiwanya tersiksa. Hidupnya juga
merana. Dia cuba untuk bangkit. Secara perlahan-lahan, akhirnya dia berjaya
untuk berpindah dari fasa yang lama dan menuju ke fasa yang baharu. Bukan mudah
untuknya. Cinta yang dikhianati, sakit
rasanya. Macam-macam perasaan yang menyiksa.
“Aku
tak tahulah nak buat apa lagi. Sebenarnya aku tak kuat bila ‘dia’ mesej aku.
Walaupun sekadar tanya khabar. Hanya dengan dua perkataan itu pun sudah cukup
buat aku lemah. Sukar bagi aku untuk biarkan mesej tu macam tu je. Tergerak
hati untuk balas. Dalam masa yang sama, aku pula yang sakit hati. Rasa macam bodoh
pula. Ah! Peritnya! Apa yang perlu aku buat? Macam mana nak jadi kuat?” Aku
melihat ke dalam anak mata sahabat itu. Matanya berair sedikit. Seolah-olah dia
sedang menahan daripada air mata itu mengalir.
“Habis
tu, kau balas tak mesej dia?” Aku menduganya. Soalan tadi aku biarkan tanpa
jawapan. Kerana aku mahukan dia melepaskan rasa hati seketika.
“Ya!”
Air matanya laju mengalir. Aku hanya memerhati. Mengetap bibir. Menarik nafas
panjang. Aku hembus perlahan-lahan. Aku membiarkan dia menangis. Tanpa berkata
apa-apa. Aku hanya diam. Aku biarkan dia melepaskan segala-galanya dengan
tangisan. Mungkin itu lebih baik. Mungkin itu lebih melegakan dia.
Air
matanya terhenti. Dia mengesat pipinya yang basah. Lalu dia bertanya lagi, “Apa
yang harus aku buat?” Aku merenung dia kembali. Riak wajahnya pernuh dengan
harapan agar soalan itu terjawab. Mungkin dengan jawapan yang bakal aku berikan
dapat melegakan perasaannya. Melihat aku diam, dia jatuhkan pandangan ke
lantai.
“Sebenarnya,
kau kena tanya diri kau sendiri. Apa yang perlu kau buat? Mungkin itulah
jawapan yang terbaik. Diri kau sendiri yang perlu tentukan apa yang terbaik
untuk kau. Bagi aku, bukan mudah untuk jadi kuat. Bukan mudah untuk menepis
orang yang pernah kita sayang. Bukan mudah. Mungkin kita cakap kita boleh, tapi
hati kita yang menafikan. Pertama sekali, kau kena jaga hati sendiri. Pelihara
hati sendiri. Didik hati. Didik hati untuk menolak walaupun ia pahit. Tapi
percayalah, manisnya akan datang kemudian.” Dia mendongak dan melihat ke arah
aku. Aku kurang pasti sama ada dia mengerti dengan apa yang aku maksudkan atau
tidak.
Aku
sambung lagi, “Kau harus tahu, bukan mudah untuk didik hati. Dengan cara apa
sekali pun, cuba elak untuk contact dia lagi. Sibukkan diri dengan hobi
dan minat kau. Dari situ, belajarlah untuk didik hati. Kedua, cuba buang dendam
kau dengan dia. Buang jauh-jauh. Tak perlu simpan lagi. Selagi dalam hati kau
tertulis nama dia sebagai orang yang kau dendamkan, selagi itu susah untuk kau
jadi kuat. Sebab itu, apabila dia muncul kembali sakit hati kita membuak-buak
rasanya. Rasa membara.”
Sekali
lagi sahabat itu tadi melarikan pandangannya daripada wajahku. Aku biarkan. Aku
biarkan dia seketika. Aku biarkan dia hadam cukup-cukup jawapan yang tadi aku
berikan. Mungkin dia masih menafsir satu persatu ayat yang aku keluarkan. Aku fikir,
bukan semua orang boleh buat apa yang aku cakap. Ya, tidak semua orang boleh
buat. Diri sendiri pun belum tentu boleh buat!
Dusshhhh!
Bahu aku ditepuk kuat. Aku pandang hadapan kelas. Aku lihat seorang pensyarah sudah
berada dihadapan bersedia dengan syarahannya. Aku toleh ke belakang. Kawan aku
tersengih-sengih lalu menunjukkan jari telunjuknya ke hadapan menandakan
kehadiran pensyarah yang aku tidak sedari. “Hmm... Khayalkan siapa tu?” Aku tersenyum malu. Pandanganku kembali ke arah pensyarah tadi.
Aduhai,
sungguh mengkhayalkan. Mungkin betul juga tadi. Dunia ini buat kita terlena
seketika! Kertas tadi pun masih kosong!
Comments
Post a Comment