PerbandinganTeori Rasional Emotif Tingkah Laku dengan Teori Pemusatan Perorangan

Latar Belakang Teori

Teori Rasional Emotif Tingkah Laku (RET) dikenali juga sebagai terapi A-B-C, merupakan suatu teori yang berbeza sekali dari teori Pemusatan Perorangan (PCC). Hal ini adalah disebabkan teori RET hanya mementingkan ketiga-tiga aspek atau alam yang terdapat pada seseorang individu itu, iaitu aspek kognitif, aspek emotif dan aspek tingkah laku. Ia menekankan pemikiran, penilaian, penganalisaan, perlakuan serta membuat keputusan. Pendekatannya juga berbeza sekali kerana ia amat bercorak didaktik atau mengajar, amat mengarah, dan lebih mengutamakan pemikiran daripada perasaan.

            Jauh berbeza daripada teori PCC yang terlebih dahulu dikenali sebagai pendekatan pemusatan klien pada asalnya dikenali sebagai terapi tanpa arahan. Teori PCC ini menggunakan istilah “Pemusatan Perorangan” hasil daripada kepercayaan pelopornya iaitu Carl Rogers terhadap individu dan keperluan melihat manusia dari sudut pandangan positif. Teori ini juga menekankan bahawa manusia mempunyai desakan semula jadi untuk memajukan diri dan sentiasa bergerak ke arah kesejahteraan diri. Seseorang individu juga berupaya memberi penilaian positif kepada pengalaman yang dirasai sebagai positif dan penilaian negatif bagi pengalaman yang dirasai sebagai negatif baginya. Secara tidak langsung, teori ini juga percaya bahawa individu dapat mengasingkan hasil daripada pengalaman yang positif dan negatif dalam pertubuhan hidupnya.

            Sebagai contoh perbezaan, teori RET memfokuskan tiga aspek iaitu aspek kognitif, emotif dan tingkah laku. Ia bercorak didaktif atau mengajar, amat mengarah dan lebih mengutamakan pemikiran daripada perasaan. Teori PCC amat berbeza dengan teori RET kerana teori ini sebagai teori tanpa arahan dan tidak bersifat mengajar. Teori ini juga tidak seperti teori RET yang hanya memfokuskan pemikiran daripada perasaan. Teori PCC hanya menekankan penilaian sahaja. Akan tetapi, teori RET pula menekankan pemikiran, penilaian, penganalisaan, perlakuan dan juga membuat keputusan.

Pelopor Teori

Teori RET diperkenalkan oleh Albert Ellis. Albert Ellis dilahirkan pada tahun 1913 di Pittsburgh, Amerika Syarikat. Beliau merupakan pelopor kepada terapi ini atau lebih dikenali sebagai terapi A-B-C. Semasa zaman kanak-kanak beliau sering mengalami gangguan kesihatan. Beliau pernah dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan nefritis sebanyak sembilan kali.  Ellis mempunyai kebolehan dalam memberikan perkhidmatan kaunseling. Beliau bercita-cita untuk menjadi seorang pakar psikologi. Beliau mula mempraktikkan terapi perkahwinan, keluarga dan seks. Pada masa itu, Ellis yakin bahawa Terapi Psikoanalisis merupakan satu teori yang mengkaji manusia dengan begitu mendalam. Dari tahun 1947 hingga tahun 1953, beliau telah menjalankan analisis dan analitikal secara klasikal berorientasikan psiokoterapi. Kesimpulan yang beliau perolehi ialah Terapi Psikoanalisis tidak begitu mendalam dan tidak saintifik.

            Melihat kepada teori PCC pula, teori tersebut dipelopori oleh Carl Rogers. Beliau dilahirkan pada tahun 1902 di Oak Park, dan meninggal dunia pada tahun 1987. Latar belakang keluarga beliau adalah berdisiplin, penuh dengan keagamaan dan bermoral tinggi. Rogers belajar di Universiti of Winconsin dalam bidang pertanian tetapi selepas dua tahun beliau bertukar kepada bidang keagamaan di Union Theological Seminary di New York. Kemudian, Rogers keluar daripada kumpulan keagamaan kerana mempertikaikan beberapa doktrin agama dan mempersoalkan tentang makna kehidupan. Beliau merupakan seorang ahli psikologi klinikal dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Teacher College, Columbia Universiti serta mendapat gelaran ph.D pada tahun 1928.

Pandangan Terhadap Manusia

Pandangan RET tentang manusia didominasi oleh prinsip bahawa emosi, pemikiran dan perasaan terikat dengan kemas di dalam pisik manusia. RET menekankan semua manusia yang normal berfikir, berperasaan dan bertindak dan mereka melakukannya secara bertukar ganti. Pemikiran manusia kerap membentuk perasaan dan tingkah laku. Perasaan pula memberi kesan kepada pemikiran dan tindakan. Tindakan pula memberi kesan kepada pemikiran dan perasaan. Walau bagaimanapun Albert Ellis (1974) lebih menekankan kepada proses berfikir.

RET menekankan bahawa individu dilahirkan dengan potensi berfikir secara rasional dan tidak rasional. Oleh kerana itu mereka berupaya mencintai, bergembira, berkembang, berinteraksi degan orang lain dan mencapai kesempurnaan kendiri. Manusia juga mempunyai kecenderungan untuk merosakkan kediri, menyalahkan kendiri, mempunyai kepercayaan karut, tidak bertolak ansur, membuat kesilapan yang tidak berhenti, suka menangguhkan kerja, tingkah laku menghalang perkembangan dan pencapaian kesempurnaan kendiri.

Manusia adalah unik kerana ia menciptakan kepercayaan yang mengganggu dan mengulanginya kepada diri sendiri dan ini akan meneruskan gangguan kepada diri mereka. Individu juga mempunyai keupayaan menukar proses kognitif, emotif dan tingkah laku dengan memilih untuk bertindak balas secara berbeza daripada corak sebelumnya. Ini melibatkan seseorang melatih diri untuk menolak daripada merasa terganggu dan menepis pemikiran tidak rasional dengan mengulangi pemikiran rasional kepada diri sendiri.

            Pandangan manusia teori Pemusatan Perorangan pula menyatakan bahawa manusia bersifat rasional, gemar bersosialisasi, berpandangan ke depan, dan realistik. Sebagai contoh penjelasan, Carl Rogers telah menyenaraikan ciri-ciri manusia seperti berikut :

      I.                Mempunyai maruah serta harga diri dan harus dihormati.
             Mempunyai kapasiti untuk mencapai arah kendiri dan berkebolehan untuk membuat             penilaian yang bijak sekiranya diberi peluang.
   III.                Berkebolehan untuk menangani perasaan, pemikiran dan tingkah laku masing-masing
  IV.                 Mampu belajar cara menunaikan tanggungjawab secara konstruktif.
    V.                 Berkebolehan untuk menangani perasaan, pemikiran dan tingkah laku masing-masing.
  VI.                Berpotensi untuk melakukan perubahan yang konstruktif serta perkembangan peribadi          ke arah kehidupan yang memuaskan.

Kedua-dua teori ini sangat menunjukkan perbezaan yang ketara terhadap pandangan manusia. Sifat tidak rasional yang ditunjukkan oleh manusia dalam teori RET kebiasaannya akan menggunakan perkataan seperti “mesti”, “harus”, dan “patut” dalam mengharungi liku-liku hidup masing-masing. Jika tidak, mereka akan sering mengalami gangguan emosi, kemarahan, kebimbangan, kemurungan, putus asa, kekecewaan dan perasaan negatif lain yang akhirnya membawa kepada tingkah laku yang merosakkan. Cukup berbeza dengan pandangan teori PCC terhadap manusia yang menyatakan bahawa berkebolehan untuk menangani perasaan, pemikiran dan tingkah laku masing-masing. Sebagai contoh, rujuk kepada rajah di bawah mengenai tingkah laku manusia yang tidak rasional atau tidak dapat menangani perasaan, pemikiran dan tingkah laku.



Matlamat Teori          

Dalam sesi kaunseling yang dijalankan oleh teori RET ia bermatlamat untuk mengubah pemikiran tidak rasional klien kepada rasional dan menerima setiap yang berlaku dengan seadanya. Teori ini juga akan membantu klien dengan menerangkan kenapa dan bagaimana tingkah laku tidak rasional dan tidak normal itu terjadi. Sebagai contoh, kaunselor akan cuba mengaitkan perasaan tidak rasional dengan pemikiran tidak rasional klien sekali gus menghasilkan tindakan yang tidak rasional. Oleh itu, klien akan sedar akibat atau kesan daripada tindakan yang tidak rasional tersebut. Selain itu, kaunselor juga boleh menekankan konsep ABCDE kepada klien iaitu :

A.    Peristiwa yang berlaku kepada klien.
B.    Kepercayaan tidak rasional klien yang terbentuk daripada peristiwa-peristiwa yang dialami.
C.   Emosi terhasil daripada kepercayaan yang tidak rasional.
D.   Kaedah yang digunakan mahupun cabaran yang akan mengubah emosi yang tidak stabil dan kepercayaan tidak rasional dalam diri klien.
E.    Lahir emosi yang normal dalam diri klien.

            Berbeza dengan teori PCC, ia lebih spesifik matlamat kaunselor adalah menolong klien menjadi lebih matang dan dapat bergerak ke arah kesempurnaan kendiri kerana sudah jelas bahawa teori ini berpandangan manusia berpotensi untuk melakukan perubahan yang konstruktif serta perkembangan peribadi ke arah kehidupan yang memuaskan. Objektif kaunseling adalah untuk membebaskan individu daripada kebimbangan dan keraguan yang menghalang individu daripada memperkembangkan potensinya.

Konsep Asas Teori

Dalam teori RET menjelaskan bahawa fikiran, emosi dan tingkah laku manusia adalah saling berkaitan. Misalnya pemikiran manusia akan sering membina perasaan dan tingkah laku. Perasaan pula akan memberi kesan kepada pemikiran dan tingkah laku manusia. Tindakan turut memberi kesan kepada pemikiran dan perasaan.
            Teori PCC pula menyatakan bahawa individu adalah unik, mempunyai potensi diri untuk berkembang, boleh dipercayai dan manusia berkemampuan untuk menyelesaikan masalah demi menuju ke arah kesempurnaan (self actualization). Setiap manusia sentiasa akan bertindak dan bergerak maju ke hadapan untuk mencapai kecenderungan ini seperti dalam keterangan Hierarki Maslow.

Sebagai contoh perbezaan, pada asalnya teori RET menyatakan bahawa manusia adalah unik tetapi apabila kepercayaan telah diganggu dan mengulangi pada diri sendiri menyebabkan gangguan akan berlaku secara berterusan. Manusia berupaya menukar pemikiran, emosi dan tingkah lakunya dengan memilih tindak balas yang berbeza. Hal ini akan menggalakkan manusia berfikir daripada tidak rasional kepada rasional. Teori PCC pula menolak teori RET memandang manusia sebagai tidak rasional, tidak sosial, berupaya memusnahkan diri sendiri dan kurang dapat mengawal diri. Teori PCC menolak idea ini dan menekankan bahawa individu boleh membimbing dan mengawal diri sendiri.

Matlamat Kaunseling

Matlamat teori RET adalah bertujuan untuk membantu klien memperkembangkan pemikiran rasional dan logikal melalui galakan mereka memikir dan memahami pemikiran tidak rasional yang diwarisi masa dahulu. Klien dibimbing untuk melihat dan menganalisis peristiwa yang diaktifkan dan gangguan emosi yang dialami. Sangat berbeza dengan teori PCC yang bermatlamat untuk menyediakan peluang, keadaan yang bebas dan membentuk suasana yang membolehkan mereka mengambil bahagian dan terlibat dalam penerokaan kendiri yang bermakna. Apabila seseorang itu dibiarkan bebas, barulah mereka boleh berfikir untuk mencari suatu jalan penyelesaian sendiri.

Pencapaian matlamat teori RET hanya berjaya apabila klien benar-benar memahami punca asas yang menimbulkan gangguan emosi dan harus mengikisnya dengan gantian kepercayaan rasional atau logikal. Sebagai contoh, individu yang mengalami gangguan emosi iaitu sering gagal peperiksaan dapat difahami dengan jelas dan dihapuskan dengan kepercayaan yang rasional bahawa dia gagal adalah untuk berjaya. Teori PCC pula akan mencabar klien membuat perubahan yang membawa mereka kepada kehidupan yang sebenar-benarnya. Kesedaran ini memerlukan usaha yang gigih daripada klien untuk mengatasi masalah yang dihadapi secara berterusan. Contohnya, klien akan berusaha secara berterusan untuk membaiki dirinya dalam proses mencapai kesempurnaan kendiri. Secara amnya, klien tidak pernah berasa puas hati dengan tahap pencapaiannya.

Peranan Kaunselor

Peranan kaunselor dalam teori RET ini ialah:
      i.           Kaunselor amat bersikap mengarah di dalam pendekatannya,
     ii.          Kaunselor amat aktif di dalam usahanya mencabar, menunjuk dan menyoal;
    iii.         Membantu klien memahami kepercayaan tidak rasional
   iv.          Mengajar klien idea dan alternatif baru
    v.          Beritahu kebaikan idea baru

Tindakan dalam teori ini tidak semestinya terbatas kepada sesi kaunseling sahaja tetapi kadang-kadang klien perlu menjalankan kegiatan-kegiatan tertentu di luar sesi seperti mengelak daripada melakukan sesuatu yang menyebabkan emosi klien terganggu.
Peranan kaunselor dalam teori PCC pula ialah :

      I.      Kaunselor berfungsi sebagai fasilitator bagi perkembangan seseorang klien. Kaunselor haruslah mewujudkan suasana teraputik iaitu mewujudkan suasana yang tenang, selesa dan sesuai agar dapat menggalakkan klien mengalami suatu rasa bebas untuk meneroka dan mengalami cabang-cabang hidup yang disangkalnya. Oleh itu klien dapat dibantu supaya tidak bersifat defensif. Kaunselor harus menganggap klien sama taraf dengan kaunselor dan berusaha mengenali masalahnya.
    II.        Kaunselor perlu mewujudkan suasana iaitu kaunselor harus berada dalam keadaan kongruen dan klien berada dalam keadaan tidak kongruen. Kaunselor bersedia menerima tanpa syarat, prasangka dan tidak beranggapan buruk terhadap klien. Kaunselor harus berempati bagi merasai dan mengalami apa yang dirasai dan dialami oleh klien.
   III.        Kaunselor haruslah memperlihatkan kepada kliennya yang ia dianggap sebagai sama taraf dengan dirinya dan secara bersama mereka akan berusaha untuk mengenali masalah klien dan mengatasinya.
  IV.        Kaunselor tidak akan mendiagnos masalah klien. Ia hanya menjadi sebagai cermin yang akan membantu klien melihat dirinya dan masalahnya dengan jelas.

Peranan kaunselor dalam teori PCC tidaklah seperti dalam teori RET yang bersifat mengarah. Peranan kaunselor dalam teori PCC bersifat sebagai fasilitator dan akan memberi kebebasan kepada klien dan menganggap setaraf dengan klien.

Peranan Klien

Peranan klien dalam teori RET ialah :

      i.        Klien lebih merupakan seorang pelajar.
     ii.        Klien perlu membicarakan perkara-perkara masa kini yang berkaitan dengan pemikiran, perasaan dan tingkah laku.
    iii.        Di peringkat celik akal, klien perlu menyedari sistem kepercayaan yang mengganggu emosinya.
   iv.        Klien harus menerima hakikat bahawa jika ia sendiri tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk menghapuskan sistem kepercayaan yang tidak rasional, maka selama itulah ia akan menderita.
    v.        Klien perlu menggantikan set kepercayaan tidak rasional dengan sistem kepercayaan dan falsafah hidup yang rasional dan realistik.
Peranan klien dalam teori PCC pula menekankan :
      I.        Klien merasa lebih terbuka dan bebas meluahkan perasaan dan menjelajah diri
    II.        Klien akan cuba untuk mencari penyelesaian dengan bantuan klien sendiri
   III.        Klien akan menentukan pilihan dan tindakannya sendiri. Kaunselor hanya bertindak membantu klien dalam membuat pilihan
  IV.        Klien berupaya dan bersedia untuk berubah
    V.        Klien bersedia untuk terus berkembang dalam usaha mencari matlamat baru

Perbezaan yang dapat dilihat dalam kedua-dua teori ini ialah usaha klien. Dalam teori RET klien akan berusaha untuk mengenal pasti tingkah laku yang menyebabkan fikiran atau kepercayaan yang tidak rasional dan mengubahnya kepada fikiran yang rasional. Contohnya, klien yang berfikiran tidak rasional disebabkan tingkah laku yang kurang baik akan berusaha mengubah tingkah laku tersebut untuk mencapai kepercayaan atau fikiran yang rasional. Dalam teori PCC pula, klien berperanan untuk berusaha mencari matlamat baharu dengan bersedia untuk terus berkembang. Klien akan menentukan pilihan dan tindakannya dalam usaha tersebut dan kaunselor hanya bertindak sebagai membantu klien dalam membuat pilihan.


Comments

Popular posts from this blog

PENGURUSAN PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING

Kaunseling Silang Budaya Secara Umum dan Bagaimana Ia Relevan Dalam Konteks Sekolah Rendah

Analisis Kod Etika Bimbingan dan Kaunseling (KPM)