Gaya Komunikasi

Gaya komunikasi kita sangat dipengaruhi oleh emosi kita. Apabila kita suka kepada seseorang, komunikasi kita akan bersifat sangat positif. Kita banyak memuji-muji orang itu, dan kita seronok dengan kehadirannya. Orang-orang yang tertarik kepada kita adalah orang-orang yang memenuhi keperluan jiwa kita. Mereka manaikkan estim-diri kita. Mereka membuat kita berasa seronok. Apabila mereka juga mencintai diri kita, estim-diri kita naik lebih tinggi lagi dan jiwa dan kalbu kita berasa tambah seronok. Itulah sebabnya kita suka kepada orang-orang seperti itu. Orang yang benci kepada diri kita membuat estim-diri kita turun jadi rendah dan kita tidak seronok. Itulah sebabnya kita tidak suka orang-orang yang membenci kita.

            Pakar-pakar psikologi dan pakar-pakar komunikasi memberi panduan yang boleh membuat orang suka kepada kita. Pertama, kita mesti suka menolong orang. Orang yang pernah menerima pertolongan kita akan suka kepada kita. Orang-orang yang pernah kita tolong juga mudah terpengaruh dengan pandangan dan nasihat kita. Kedua, jadilah orang yang jujur, ikhlas dan berhati baik dan gambarkan sifat-sifat mulia itu dalam komunikasi kita. Manusia memang suka kepada orang yang memiliki sifat-sifat tersebut. Tetapi ingat, jangan sekali-kali “bersandiwara” sebab sekali orang tahu kita Cuma berpura-pura, sampai mati orang benci kepada kita. Kita tidak mungkin dapat mempengaruhi orang-orang yang curiga terhadap kejujuran dan keikhlasan kita.

            Ketiga, ada orang sangat pandai dan petah bercakap sehingga melakukan kesilapan “banyak cakap”. Orang yang mendengar tidak suka perangai ini. Cuba belajar banyakkan mendengar daripada bercakap. Biar orang hendak kita pikat hatinya itu yang dapat banyak peluang bercakap. Biar dia puas bercakap. Adalah sifat manusia suka mendengar suaranya sendiri, dia suka kepada orang yang membenarkan dia mendengar suaranya sendiri. Apabila dia suka terhadap kita barulah dia bersikap terbuka kepada pandangan dan nasihat kita. Keempat, jadikan diri kita seorang yang menarik minta orang itu apabila kita bercakap kepadanya. Belejar teknik yang betul member pujian. Selalu ucapkan kata-kata penghargaan. Manusia mudah terpengaruh dengan kata-kata orang yang pandai member pengiktirafan dan penghargaan. Kelima, apabila berbual gunakan gaya positif dan kooperatif. Gaya positif tidak menggunakan perkataan-perkataan negatif. Gaya kooperatif tidak tunjuk pandai dengan membukitkan orang lain salan, atau tidak betul. Tidak ada orang yang suka dirinya dibuktikan salah.
            Keenam, apabila berbual-bual, jangan tunjukkan kita amat berminat dengan diri sendiri. Ramai orang suka bercakap “saya…saya…saya” dari mula sampai habis. Ia sangat membosankan orang yang mendengar. Jadi cuba berjimat cermat apabila menggunakan perkataan “saya”. Ketujuh, didalam perbualan, gambarkan bahawa kita banyak bersetuju dengan sikap orang itu, dengan sudut pandangannya, dan kita menghargai idea-ideanya. Lebih baik lagi katakana bahawa kita menganut nilai-nilai yang serupa dengan nilai-nilainya. Kelapan, tunjukkan kita seorang yang positif. Jadi jangan suka merungut-rungut. Jangan bercakap tentang perkara-perkara yang kita tidak suka. Jangan sekali-kali mengata orang. Itu semua adalah bukti otak kita penuh dengan perkara-perkara negative. Jangan buat itu semua di depan orang yang hatinya cuba kita pikat. Kajian membuktikan bahawa manusia tertarik kepada orang-orang yang positif.

            Kesembilan, apabila berbual bual ucapkan kata-kata yang membuat orang itu seronok. Jangan asyik hendak menyeronokkan diri kita sendiri. Tunjukkan bahawa kita seronok dapat mendengar perbualannya. Caranya ialah dengan tekun mendengar dia bercakap. Apabila dia berlawak, kita sambut dengan gelak ketawa. Jangan menyampuk. Jangan menyambung ayat-ayatnya kecuali perlu bagi memeriahkan lagi keadaan. Jangan mencelah. Jangan memandang kea rah lain.


            Kemahiran berkomunikasi adalah kemahiran yang sangat besar gunanya. Menurut kajian, orang-orang yang mahir berkomunikasi dipandang sebagai orang yang mempunyai daya tarikan. Ini tidakklah menghairankan kerana dengan menggunakan teknik-teknik komunikasi yang betul, setiap kali kita bercakap kita membuat orang berasa seronok. Akibatnya mereka suka dan tertarik kepada kita. 

Comments

Popular posts from this blog

Kaunseling Silang Budaya Secara Umum dan Bagaimana Ia Relevan Dalam Konteks Sekolah Rendah

PENGURUSAN PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING

Teknik Ucapan Yang Berkesan